Anda di sini

Di sebalik sekatan pergerakan, wang tunai kekal sebagai medium pembayaran paling banyak digunakan

Advertisement
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Walaupun terdapat sekatan pergerakan dan peningkatan pesat dalam e-dagang dan perbelanjaan dalam talian pada 2020, wang tunai kekal sebagai medium pembayaran yang paling banyak digunakan pada tahun itu, menyaksikan pertumbuhan tahunan sebanyak 14.3 peratus, peningkatan tertinggi mata wang dalam edaran (CIC) dalam tempoh 10 tahun ini.

“Pada akhir 2020, sejumlah kira-kira RM130.4 bilion wang kertas dan duit syiling berada dalam edaran, dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 14.3 peratus. Pertumbuhan ini merupakan kenaikan tertinggi CIC dalam tempoh 10 tahun sebelum ini,” demikian diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Pada 2019, CIC sebanyak 7.3 peratus, manakala purata 10 tahun sebelum ini ialah 8.9 peratus.

“Peningkatan permintaan yang ketara untuk wang tunai, yang turut berlaku di negara-negara lain adalah disebabkan oleh sikap berwaspada orang ramai dan perniagaan kecil yang cenderung untuk menyimpan wang tunai secara berlebihan semasa pandemik COVID-19,” menurut bank pusat itu dalam Laporan Tahunan 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Dengan CIC yang lebih tinggi dan penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar CIC Malaysia berbanding KDNK meningkat kepada 8.3 berbanding 6.6 pada tahun sebelumnya.

BNM berkata apabila orang ramai memegang lebih banyak wang tunai,  jumlah deposit daripada institusi kewangan yang diterima bank sepanjang tahun menurun sebanyak 23 peratus, sekali gus, wang kertas yang sesuai untuk edaran turut berkurangan untuk diedarkan semula.

Katanya bagi memenuhi peningkatan permintaan yang mendadak terhadap wang tunai, pihaknya telah melaksanakan tiga pelan tindakan.

Langkah pertama yang diambil ialah menggunakan penampannya iaitu stok mata wang tambahan yang disimpan melebihi jumlah penggunaan biasa.

“Stok penampan disimpan bagi memastikan wang tunai mencukupi untuk memenuhi permintaan orang ramai yang meningkat secara mendadak dalam sebarang keadaan yang tidak dijangka.

“Semasa pandemik ini, menyimpan stok penampan yang mencukupi terbukti amat diperlukan oleh bank bagi memastikan tidak berlakunya kekurangan wang tunai dalam edaran sepanjang tahun 2020,” katanya.

Selain itu, BNM juga bekerjasama rapat dengan rakan strategik dalam industri terutamanya institusi kewangan dan syarikat  perkhidmatan perpindahan wang tunai (CIT) bagi memastikan ketersediaan wang tunai di lebih 12,000 mesin juruwang automatik (ATM) di seluruh negara.

Dalam hal ini, katanya, institusi kewangan dan syarikat CIT diklasifikasikan sebagai perkhidmatan perlu dan ia dibenarkan terus beroperasi sepanjang tempoh PKP.

BNM juga memastikan operasi di Pusat Mata Wang Automatik (ACC) tidak terganggu dengan melaksanakan pembahagian operasi dan penubuhan pasukan sokongan. 

Bagi mengekalkan kualiti tinggi mata wang, BNM berkata pihaknya memproses 2.3 bilion (2019: 2.9 bilion) keping wang kertas pada 2020 dan melupuskan 23.3 peratus (2019: 20 peratus) daripada wang kertas ini yang tidak lagi memenuhi standard kualiti.

Mengenai pemalsuan wang kertas, katanya usaha yang berterusan telah menyumbang kepada kadar pemalsuan mata wang Malaysia yang terus rendah.

Pada akhir 2020, kadar pemalsuan mata wang di Malaysia adalah kurang daripada satu bagi setiap sejuta keping (ppm) wang kertas (2019: 1 ppm) dan kadar ini jauh lebih rendah berbanding negara penanda aras yang lain. - Bernama 

Advertisement