Anda di sini

Youn Yuh-jung aktres calon Oscar pertama Korea

Advertisement
 Youn Yuh-jung dalam filem ‘Minari’. — Gambar AFP
DIIKTIRAF: Youn Yuh-jung dalam filem ‘Minari’. — Gambar AFP

AKTRES Youn Yuh-jung yang berusia 70 tahun ke atas iaitu pelakon wanita pertama dari Korea Selatan yang dicalonkan bagi satu anugerah Oscar, telah menghabiskan beberapa dekad melakonkan beberapa watak yang bukan penurut, daripada seorang pewaris kejam hinggalah kepada seorang pelacur tua, mencabar norma-norma sosial dalam kedua-dua bidang karier dan kehidupan,

Wataknya dalam ‘Minari’, sebuah drama kekeluargaan mengenai pendatang Korea di AS, adalah nenek yang lebih konvensional kepada seorang budak lelaki yang sangat nakal yang cuba untuk menyesuaikan diri di pedalaman Arkansas.

Filem itu mendapat enam pencalonan Oscar termasuk filem terbaik, pengarah terbaik dan pelakon terbaik.

Pencalonan itu telah menaikkan prospek bagi satu pencapaian kedua Oscar untuk sebuah filem bahasa Korea dalam dua tahun berturut-turut, selepas ‘Parasite’ menjadi filem pertama bukan dalam bahasa Inggeris menang Oscar Filem Terbaik pada 2020 – walaupun ia tidak mendapat sebarang pencalonan lakonan.

Youn menolak keterujaan mengenai peluangnya untuk melakar sejarah pada acara bulan depan, menyatakan: “Saya tidak menyukai persaingan.”

“Ini bukannya satu perlawanan penentuan bagi para pelakon, meletakkan mereka pada tempatnya. Saya menganggap pencalonan ini sama bermakna dengan anugerah yang sebenarnya.”

Dua anak lelakinya yang sudah besar adalah rakyat Asia-Amerika dan Youn berkata beliau menerima watak dalam “filem kecil ini yang dihasilkan oleh generasi kedua Korea-Amerika” bagi penghargaannya sendiri.

Berdasarkan kepada pengalaman pengarahnya Lee Isaac Chung yang membesar pada tahun 1980-an, ‘Minari’ berkisar mengenai seorang ayah yang dilahirkan di Korea yang membawa keluarganya berhijrah ke sebuah pekan yang hanya mempunyai penduduk kulit putih di luar bandar Arkansas untuk kehidupan yang lebih baik.

Bong Joon-ho, yang menerima Pengarah Terbaik Oscar pada tahun lepas bagi filem satira gelapnya ‘Parasite’, menyatakan watak tersebut adalah “yang paling menawan pernah dipegang oleh Youn”.

Ia adalah yang terbaharu bagi beberapa watak berbentuk nenek untuk Youn, yang telah menerima beberapa anugerah aktres pembantu terbaik dalam beberapa festival filem AS dan sekarang berada dalam senarai pendek bagi satu Screen Actors Guild Award.

Pengarah program bagi Festival Filem Antarabangsa Busan, Nam Dong-chul memberitahu AFP bahawa pencalonan Youn untuk Oscar “memberikan pengiktirafan terhadap seorang aktres yang luar biasa yang meneraju jalan hidupnya sendiri bagi satu masa yang sangat panjang.”

“Saya tidak fikir beliau pernah berniat untuk sampai ke peringkat filem antarabangsa,” katanya, “namun sepanjang beberapa dekad beliau telah membentuk satu citarasa yang baik ketika memilih projeknya”.

Dalam satu karier yang berkembang selama lebih dari 50 tahun, Youn sering memegang watak-watak yang provokatif dan tidak tipikal yang tidak menurut peraturan masyarakat Korea yang konservatif dari segi sosial.

 

Dilahirkan pada tahun 1947 di Kaesong, sekarang di Korea Utara, beliau melakukan penampilan pertamanya dalam filem pengarah Kim Ki-young pada 1971 berjudul ‘Woman of Fire’, sebagai seorang pembantu rumah yang tinggal bersama dengan sebuah keluarga kelas pertengahan yang mengandung disebabkan ketua keluarga tersebut.

Filem itu adalah satu pencapaian yang kritikal dan komersil, dan kekal sebagai klasik bagi panggung wayang moden Korea Selatan. Namun zaman kegemilangan pertama Youn berdepan dengan satu penamat mengejut pada 1975, selepas beliau mengahwini penyanyi Jo Young-nam dan pasangan tersebut berpindah ke AS.

Youn kembali ke Korea Selatan pada tahun 1984. Namun selepas bercerai dengan Jo tiga tahun kemudian, Youn berdepan stigma yang berat dalam meneruskan karier lakonannya untuk menanggung dua orang anaknya.

“Diceraikan adalah seperti mempunyai ‘scarlet letter’ pada masa itu,” kata Youn memberitahu satu majalah tempatan pada 2009.

“Terdapat perkara ini yang menyatakan wanita tidak seharusnya melakukan kemunculan di TV terlalu awal selepas perceraian mereka.”

Beliau menanganinya dengan menerima setiap watak yang ditawarkan kepadanya, walau kecil sekalipun.

“Saya bekerja bersungguh-sungguh. Saya mempunyai misi ini untuk bagaimanapun mampu menanggung anak-anak saya. Saya akan menyatakan ya malah ketika saya diminta untuk naik 100 anak tangga.”

Pada tahun 1990-an, Youn merupakan wajah yang kerap muncul dalam drama-drama TV, sering memegang watak sebagai ibu-ibu, dan kemudian nenek.
Pada 2003, Youn membuat kemunculan semula bagi filem dalam filem arahan pengarah Im Sang-soo ‘A Good Lawyer’s Wife’, sebagai seorang ibu mertua yang bukan konvensional dalam sebuah keluarga yang bermasalah.

Beliau memegang watak seorang pewaris yang kejam dan kaya yang telah dikhianati oleh suaminya dalam filem arahan Im pada 2012 berjudul ‘Taste of Money’, dan seorang ‘haenyeo’, iaitu wanita di pulau Jeju yang melakukan selaman bebas bagi mengutip kulit siput, yang sudah berusia yang disatukan semula dengan cucu perempuannya yang lama hilang dalam drama ‘Canola’ pada 2016.

Juga pada 2016, beliau menerima pujian bagi wataknya dalam filem E J-yong berjudul ‘The Bacchus Lady’ sebagai seorang pelacur tua, seorang veteran di rumah pelacuran yang disediakan bagi anggota tentera AS di Selatan, yang telah terlibat dalam kematian bekas pelanggannya.

Youn merupakan “salah seorang daripada beberapa orang aktres utama bagi generasinya” yang telah bekerja secara konsisten dalam sinema Korea sepanjang dua dekad, kata Jason Bechervaise, seorang profesor di Korea Soongsil Cyber University.

Tambah beliau, Youn perlu untuk mengemudi “perairan yang sangat kompetitif” bagi satu industri perfileman dan TV “yang kebanyakan tertumpu pada golongan muda dan sering kali bakat lelaki bagi watak-watak utama”. — AFP

Advertisement