Anda di sini

Penerbitan filem ‘Belaban Hidup: Infeksi Zombie’ guna dana FINAS

Advertisement

PENERBITAN filem ‘Belaban Hidup: Infeksi Zombie’ yang memenangi kategori Seram dan Sains Fiksyen bagi genre filem cereka di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021 baru-baru ini, menggunakan peruntukan dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Menurut kenyataan Finas, dana bagi filem yang menggabungkan elemen seram dan aksi serta mengetengahkan kisah pahlawan Dayak Sarawak sekali gus mempromosi budaya, kepelbagaian etnik serta bahasa tempatan Sarawak kepada dunia itu diluluskan pada 2017.

“Tahniah dan syabas atas kejayaan filem ‘Belaban Hidup: Infeksi Zombie’ terbitan Hornbill Films Sdn Bhd dan Harry Aziz Entertainment Sdn Bhd,” demikian menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan tahniah atas kejayaan filem tersebut dan menyifatkan kemenangan itu membuktikan negara tidak ketandusan bakat dalam menghasilkan karya seni berkualiti antarabangsa selain meneruskan kesinambungan kejayaan filem dan terbitan kreatif tempatan di peringkat global.

Terkini, filem ‘Belaban Hidup: Infeksi Zombie’ sekali lagi melakar kejayaan di peringkat antarabangsa apabila memenangi kategori Filem Terbaik dan Filem Seram Terbaik di International Symbolic Art Film Festival (ISAFF) di St Petersburg, Rusia, kelmarin.

Bersyukur di atas kemenangan itu, penerbit dan pengarahnya Ray Lee, 45, melahirkan perasaan bangga kerana dapat mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

“Kami berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada semua penggiat filem muda lain supaya tidak berputus asa menerbitkan karya kreatif demi mengharumkan nama negara,” katanya.

Lebih membanggakan, Ray berkata filem berkenaan turut tercalon di Los Angeles Marina Del Rey Film Festival (LAMDRFF) bagi kategori Filem Cereka Terbaik (Best Feature Film).

‘Belaban Hidup: Infeksi Zombie’ mengisahkan sekumpulan anak yatim dikurung untuk menjadi bahan uji kaji oleh seorang saintis gila yang menggabungkan elemen seram serta aksi masyarakat Dayak di Sarawak.

Filem itu menampilkan barisan pelakon tempatan seperti Pekin Ibrahim, Altimet, Pablo Amirul, Anna Melissa, Cassidy Panggau dan penyanyi Indonesia Tegar serta pelakon kelahiran Slovakia Katrina Grey.

Filem edaran Metrowealth Pictures Sdn Bhd itu dijangka ditayangkan di pawagam tempatan pada Ogos depan. — Bernama

Advertisement