Anda di sini

Pelancaran TransKoM langkah tepat bagi transformasi gerakan koperasi - PM

Advertisement
Muhyiddin diiringi Wan Junaidi (kanan) ketika menyempurnakan gimik Pelancaran TransKoM 2021-2025 hari ini. - Gambar Bernama
Muhyiddin diiringi Wan Junaidi (kanan) ketika menyempurnakan gimik pelancaran TransKoM 2021-2025 hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Transformasi secara menyeluruh perlu dilakukan terhadap gerakan koperasi di negara ini bagi memperkasa dan memantapkan peranannya supaya terus mampan dalam menghadapi cabaran abad ke-21, sekali gus seiring dengan zaman digitalisasi.

Justeru, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi membangunkan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025 adalah tepat bagi menjadi paksi transformasi kepada gerakan koperasi itu.

“Saya yakin pelan ini akan menjadi pemacu kepada pembangunan koperasi yang lebih progresif dan berdaya saing.

“Ia seterusnya akan menjamin kelangsungan sektor koperasi negara sebagai penyumbang terbesar kepada peningkatan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan TransKoM 2021-2025 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pelan itu menggariskan lima bidang tujahan iaitu penerapan nilai kemakmuran bersama, pemantapan sistem perundangan dan struktur governan, pengukuhan bakat dan pembangunan modal insan, pembentukan persekitaran perniagaan mampan dan lestari serta pemerkasaan badan induk dan sistem penyampaian koperasi.

Muhyiddin berkata pelan itu turut meletakkan 20 langkah strategik dan 36 program serta aktiviti yang akan menjadi pemacu kepada pembangunan koperasi yang lebih progresif dan berdaya saing.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak terlibat dalam pembangunan sektor koperasi terutamanya Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia, Angkasa serta gerakan koperasi agar memberi kerjasama dan komitmen padu kepada kementerian dalam melaksana transformasi melalui pelan itu.

“Saya mahu kesemua 14,668 koperasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia aktif dalam perniagaan koperasi untuk sama-sama meningkatkan prestasi ekonomi negara. Koperasi yang tidak aktif dan dorman harus bangkit dan bersama-sama menjadi ejen transformasi koperasi negara,” katanya.

Pada masa yang sama, perdana menteri berkata TransKoM juga menyasarkan penubuhan sebuah institusi pendidikan tinggi bertaraf universiti yang mengkhususkan kepada pendidikan koperasi dan keusahawanan.

Institusi itu, Muhyiddin berkata akan bertindak sebagai platform bagi membentuk generasi peneraju baharu gerakan koperasi yang berpengetahuan dan mempunyai kemahiran perniagaan dan keusahawanan.

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih ramai generasi muda terutamanya golongan belia serta graduan malahan siswazah supaya turut sama mengembleng idea dan tenaga bagi memperkasakan gerakan koperasi di negara ini.

“Saya juga ingin melihat Dasar Koperasi Negara yang tamat pada tahun lalu, diperbaharui supaya ia menjadi suatu dasar yang kondusif dan inklusif bagi memastikan koperasi negara terus diperkasakan dan tidak lagi berada di takuk lama,” katanya.

Muhyiddin turut mengakui pandemik yang melanda dunia sejak tahun lepas menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi negara dan meninggalkan kesan termasuk terhadap sektor koperasi yang mengalami pengurangan nilai perolehan dan pemberhentian pekerja.

“Tahun lepas sahaja perolehan koperasi di Malaysia dianggar berkurangan kepada RM35 bilion, berbanding RM45.79 bilion pada 2019. Bagaimanapun, Alhamdulillah pada masa sekarang negara kita sedang dalam tempoh pemulihan.

“Melalui inisiatif PEMERKASA yang saya umumkan baru-baru ini, sejumlah RM50 juta di bawah Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah diperuntukkan untuk membantu lebih 14,000 koperasi melalui insentif pembiayaan sehingga RM100,000 tanpa sebarang cagaran,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau difahamkan gerakan koperasi di negara ini mempunyai kira-kira 6.1 juta orang ahli yang kebanyakannya terdiri daripada golongan B40 merangkumi koperasi penduduk, ibu tunggal, belia dan pekerja. - Bernama

Ikuti saluran Telegram Utusan Borneo Online untuk berita-berita terkini

Advertisement