Anda di sini

32 terbunuh dalam kemalangan kereta api di Mesir

Advertisement
 Orang ramai berkumpul berhampiran dua kereta api yang berlanggar di daerah Tahta di selatan Mesir.  — Gambar AFP
MALANG: Orang ramai berkumpul berhampiran dua kereta api yang berlanggar di daerah Tahta di selatan Mesir. — Gambar AFP

TAHTA: Satu pertembungan di antara dua kereta api mengorbankan sekurang-kurangnya 32 orang dan menyebabkan lebih dari 160 orang tercedera kelmarin di selatan Mesir, sebuah negara yang dibelenggu oleh kemalangan kereta api maut yang dipersalahkan terhadap infrastruktur yang usang dan kurang penyelenggaraan.

Presiden Abdel Fattah al-Sisi menjanjikan hukuman yang lebih tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab untuk nahas itu, yang muncul ketika kerajaannya bergelut dengan satu lagi cabaran utama pengangkutan: sebuah kapal kontena gergasi yang menghalang Terusan Suez.

Pasukan bantuan perubatan telah dihantar dari Kaherah dan lebih dari seratus ambulans telah dikerahkan untuk mengangkut mangsa yang tercedera ke hospital dari tempat kejadian di daerah tahta di wilayah Sohag, 460 kilometer (285 batu) selatan ibu negara.

Kementerian kesihatan memberikan satu angka kematian yang terkini bagi sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dan 165 orang dimasukkan ke hospital akibat kecederaan,  70 peratus daripada mereka mengalami patah.

Beberapa juruteknik telah bertugas sepanjang petang Jumaat untuk mengalihkan  lima  gerabak kereta api yang rosak dan tergelincir, kata  seorang koresponden AFP di tempat kejadian.

“Kami berada di masjid semasa seorang kanak-kanak datang dan memberitahu kami (mengenai insiden). Kami mendengar pertembungan itu, maka kami segera bergegas dan menemui kejadian itu,” menurut seorang saksi, bercakap dengan syarat namanya dirahsiakan.

“Ambulans pertama tiba kira-kira setengah jam kemudian selepas letupan… terdapat kanak-kanak yang  mengeluarkan serpihan dengan menggunakan tangga kayu,” sumber tersebut, yang seharian membantu pekerja penyelamat, berkata.

Rakaman kamera pengawasan bagi kemalangan itu telah dilihat oleh AFP menunjukkan sebuah gerabak yang terhumban ke udara dalam kepulan debu ketika sebuah kereta api memecut laju melanggar sebuah lagi ketika ia terguling-guling di atas landasan.

Bahagian besi yang tertonjol dari kereta api ketika beberapa orang berkumpul di sekeliling gerabak yang terbalik.

Gambaran yang mengerikan dari dalam salah sebuah gerabak dihantar di dalam Facebook menunjukkan orang menjerit-jerit meminta tolong ketika mereka cuba untuk menyelamatkan diri mereka dari gerabak.

“Orang sedang nazak. Di mana pihak berkuasa? Tolong kami,” seorang pemuda menjerit berulang-ulang kali.

Sebuah video menunjukkan seorang lelaki yang diselaputi dengan debu terperangkap oleh bahagian besi di bawah apa yang mungkin kelihatan sebagai laluan di gerabak tersebut.

“Kereta api kami tiba-tiba berhenti dan 15 minit kemudian, kereta api yang kedua tiba dan merempuh kami, Saya telah melihat kedatangannya, menjerit, kemudian mendapati diri saya berada di atas tanah dalam keadaan sangat sakit,” kata Kamel Nagi, seorang tentera kerahan berusia 20 tahun yang telah mengalami beberapa bahagian tulang yang patah.

Ketika pihak berkuasa  melancarkan satu siasatan, pihak berkuasa landasan kereta api Mesir mempersalahkan kemalangan itu  terhadap penumpang yang tidak dikenali yang  telah “mengaktifkan brek kecemasan di beberapa gerabak” pada salah sebuah kereta api.

Satu kenyataan menyatakan sebuah kereta api melanggar gerabak terakhir  pada kereta api yang lain, menyebabkan sekurang-kurangnya dua gerabak terbalik di antara  stesen-stesen Maragha dan Tahta.

Salah satu dari kereta api itu dalam perjalanan di antara bandar selatan Luxor dan Alexandria di pantai Mediterranean, sementara yang satu lagi dalam perjalanan di antara Kaherah dan bandar selatan Aswan.

Menteri Kesihatan Hala Zayed dalam perjalanan ke Sohag bagi memeriksa mangsa yang tercedera, ketika Presiden Sisi, yang mengarahkan pembayaran pampasan kepada mangsa dan keluarga mereka, menjanjikan “hukumen berat” bagi sesiapa yang bertanggungjawab.

Mesir telah mengalami beberapa kemalangan maut kereta api sejak beberapa tahun lepas.

Salah satu yang paling teruk adalah pada 2002, ketika 373 orang meninggal dunia ketika kebakaran berlaku pada sebuah kereta api  yang sesak  di selatan Kaherah.

Pada Mac tahun lepas, sekurang-kurangnya 13 orang telah tercedera ketika dua kereta api penumpang bertembung di Kaherah, mengakibatkan satu penangguhan sekejap bagi perkhidmatan kereta api di seluruh negara.

Pada masa itu para pengurus perkhidmatan kereta pai mempersalahkan kemalangan itu berlaku akibat isyarat yang tidak berfungsi dalam keadan cuaca buruk.

Serta pada Februari 2019, sebuah kereta api terbabas dan terbakar di stesen kereta api  utama di Kaherah, mengorban dan mencederakan beberapa orang lagi serta menyebabkan menteri pengangkutan Hisham Arafat meletakkan jawatan.

Pada bulan berikutnya, Sisis melantik seorang pegawai kanan tentera, Jeneral Kamel al-Wazir, untuk menggatikan beliau.

Sejak memegang jawatan pada 2014, Sisi telah melantik pegawai tentera bagi beberapa jawatan berpangkat tinggi.

Beliau telah beberapa kali memuji peranan tentera dalam menjalankan projek utama infrastruktur dalam masa rekod, seperti penambahan Terusan Suez pada Ogos 2015.

Laluan air yang strategik itu telah menjadi tajuk utama sejak Selasa, ketika kapal kontena MV Ever Given telah tersangkut di seberang terusan, menutup laluan perkapalan penting itu.

Sekatan itu telah menyebabkan kesesakan besar laluan sama ada pada hujung  terusan sepanjang 193 kilometer dan penangguhan besar dalam  penghantaran minyak dan produk lain.

Satu cubaan untuk mengapungkan semula kapal telah gagal pada Jumaat, pengurus kapal yang berpusat di Singapura Bernhard Schulte Shipmanagement berkata, ketika beberapa syarikat telah terpaksa untuk mengatur semula perjalanan perkhidmatan dari Suez mengelilingi hujung selatan Afrika, satu laluan yang lebih panjang. — AFP

Advertisement