Anda di sini

Pemimpin Sabah sokong pendirian PM kerjasama GRS contoh terbaik

Advertisement
BUNG ( kiri) JOACHIM (kanan)
BUNG ( kiri) JOACHIM (kanan)

KOTA KINABALU: Kejayaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri ini menjadikan gabungan berkenaan sebagai contoh terbaik jalinan kerjasama politik di Malaysia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut melihat pembentukan GRS bukti kesungguhan dalam menyantuni keperluan rakyat tanpa perlu banyak berpolitik.

Tinjauan Utusan Borneo mendapati ramai dalam kalangan pemimpin GRS menyokong kenyataan Perdana Menteri itu tanpa melihat siapa yang popular atau parti politik mana yang terbaik tetapi apa yang kerajaan boleh lakukan untuk pembangunan Sabah.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerajaan GRS sentiasa mendapat sokongan UMNO Sabah yang kekal dengan pendirian untuk mendukung usaha pembangunan di negeri ini.

"Inilah masanya untuk memikirkan masa depan Sabah yang agak jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan kerana terlalu banyak  berpolitik.

"Pemimpin GRS dari semua peringkat perlu fokus kepada pembangunan demi kesejahteraan rakyat  selari dengan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata, rakyat juga perlu menyokong kerajaan GRS  dan memainkan peranan dalam memacu proses pembangunan di Sabah.

Menurutnya, kerjasama politik GRS mampu mengekalkan kestabilan politik serta memulihkan ekonomi yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr. Joachim Gunsalam turut sama menyatakan sokongan jalinan kerjasama GRS sebagaimana yang diungkapkan oleh Perdana Menteri.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian merangkap ADUN Kundasang berkata, sekarang adalah masanya untuk berkhidmat kepada kepada rakyat dan perbezaan fahaman politik harus diketepikan.

"Para pemimpin GRS perlu memberi fokus mencari cara untuk mengatasi dan menyelesaikan permasalahan rakyat. 

"Kita perlu mencari penyelesaian dan meningkatkan pembangunan infrastruktur khususnya di kawasan luar bandar," katanya.

JAHID (kiri) AZIZAH (kanan)
JAHID (kiri) AZIZAH (kanan)

Sementara itu, Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Datuk Azizah Mohd Dun berkata, kerjasama politik GRS yang baik akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, pencapaian GRS juga menunjukkan kematangan politik para pemimpin di negeri ini.

"Dengan adanya politik yang stabil, perancangan dan usaha untuk memantapkan ekonomi negeri, membawa pelaburan sekali gus membuka peluang pekerjaan.

"Pada masa sama, jurang di antara golongan miskin dan kaya dapat dikurangkan dengan lebih cepat. Bagi kami kesejahteraan rakyat diutamakan dan kurangkan permainan politik (politicking)," katanya.

Bagi Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Pemangku Timbalan Presiden PBS Datuk Jahid Jahim berkata, pemimpin GRS sentiasa seia sekata dan bersatu hati membelakangkan apa juga perbezaan pendapat.

Ia kerana katanya, denyut nadi rakyat Sabah kini sangat memerlukan pembelaan ekoran pandemik COVID-19.

Justeru, beliau yang juga ADUN Tamparuli ini berkata, kerjasama politik yang difokuskan oleh GRS mampu menangani gangguan ekonomi yang begitu mencengkam kehidupan rakyat.
 

  • oleh
  • Advertisement