Anda di sini

Seorang lagi tebusan Abu Sayyaf berjaya diselamatkan

Advertisement
HAZANI
HAZANI

KOTA KINABALU: Seorang lagi tebusan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang diculik dari Tambisan, Lahad Datu Januari tahun lepas berjaya diselamatkan pasukan keselamatan Filipina di Tawi-Tawi, kira-kira 6.30 pagi, semalam.

Komander Wilayah Barat Mindanao Leftenan Jenderal Corleto Vinluan Jr berkata mangsa, Mohd Khairuidin, 15, diselamatkan hasil operasi ketenteraan di Languyan, Tawi-Tawi, Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali mengesahkan mangsa tebusan terakhir dalam kalangan kumpulan nelayan yang sama dengan tiga tebusan yang ditemui selamat empat hari lepas.

Ketiga-tiga mereka yang turut ditemui di Pulau Tawi-Tawi dikenali sebagai Arizal Kasta Miran, 30, Arsad Dahlan, 41, dan Andi Riswanto Hayano, 26 (semua mangsa berasal dari Wakatobi).

Terdahulu, Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu yang dihubungi mengesahkan sudah menerima maklumat pembebasan warganya daripada ASG di Filipina.

Namun, Ketua KJRI Kota Kinabalu Krishna Djelani berkata maklumat terperinci berhubung status terkini mangsa-mangsa culik dari perairan Tambisan, Lahad Datu Januari tahun lepas itu belum diperolehi.

"Betul saya sudah menerima khabar pembebasan warga Indonesia yang diculik ASG, namun belum mempunyai data yang lengkap," katanya, kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Berdasarkan kenyataan media Kementerian Luar Negeri Republik Indonesia pula, keempat-empat mangsa menaiki bot yang sama dan cuba dipindahkan dari Indanan Sulu ke tempat lain akibat operasi pasukan keselamatan Filipina.

Bagaimanapun, bot yang mereka naiki karam akibat dilanda ombak dan hanya tiga mangsa ditemui selepas kejadian oleh polis marin Stesen Tandubas Tawi-Tawi, manakala Mohd Khairuidin dilaporkan 'hilang'.

Kementerian terbabit turut mengesahkan bahawa  mangsa dalam keadaan sihat dan selamat serta akan dibawa ke Zamboanga sebelum diterbangkan ke Manila untuk proses penghantaran pulang ke Indonesia.

Advertisement