Anda di sini

BTS ceriakan anugerah Grammy dengan persembahan penuh ‘Dynamite’

Advertisement
 Kumpulan BTS membuat persembahan yang penuh bertenaga di Grammy baru-baru ini. — Gambar AFP
‘DYNAMITE’: Kumpulan BTS membuat persembahan yang penuh bertenaga di Grammy baru-baru ini. — Gambar AFP

KUMPULAN K-pop yang memberikan impak besar BTS telah menceriakan lagi anugerah Grammy dengan satu lagi persembahan yang menakjubkan dengan lagu hit ‘Dynamite’, melakar sejarah sebagai calon Korea pertama yang membuat persembahan dalam rancangan muzik tahunan kerap digelar sebagai “malam paling besar bagi muzik.”

Kumpulan yang dianggotai oleh tujuh orang ahli iaitu Jin, Suga, J-Hope, RM, Jimin, V dan Jungkook itu telah menyertai Anugerah Grammy ke-63 yang diadakan di Los Angeles pada Ahad lepas (masa tempatan) dari Seoul melalui satu persembahan yang direkodkan di sebuah bangunan tinggi di bandar utama Korea Selatan di daerah politik dan kewangan Yeouido, lapor agensi berita Yonhap.

Memakai sut dengan gabungan warna yang menyenangkan seperti putih susu, kuning, jingga dan hitam, para anggotanya mempersembahkan lagu pop-disko di atas pentas yang dihiasi dengan trofi gramofon yang menjadi tanda pengenalan Grammy dan karpet merah sebelum menaiki tangga ke bahagian atas bangunan.

BTS menyanyi bahagian akhir bagi lagu ‘up-tempo’ di ruang luar bangunan, dengan cahaya lampu malam di Seoul menerangi tujuh orang pemuda itu menari dan menyanyi di atas pentas berbentuk bulat.

Ia menandakan persembahan pertama Grammy oleh calon dari Korea dan penampilan ketiganya dalam pertunjukan tersebut. Kumpulan itu hadir buat pertama kali pada Grammy 2019 sebagai penyampai dan menyertai penyanyi rap Lil Nas X  pada tahun berikutnya untuk membuat persembahan bagi lagu ‘Old Town Road’, dengan beberapa baris dari remix ‘Seoul Town Road’.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui agensi mereka Big Hit Entertainment, kumpulan itu menyatakan pengalaman tersebut merupakan “satu saat yang penuh bermakna,” menyatakan ia “akan terus maju ke depan menuju matlamat mereka yang seterusnya.”

BTS telah dicalonkan dalam kategori kumpulan/duo pop terbaik, yang pertama untuk K-pop dan bagi Asia, bagi lagu hit mereka ‘Dynamite’.

Percubaan pertama seumpamanya untuk memenangi sebuah trofi, bagaimanapun, gagal ketika Lady Gaga dan Ariana Grande membawa pulang trofi melalui kolaborasi mereka ‘Rain On Me’.

Para pesaing yang lain adalah Taylor Swift dengan ‘Exile’ menampilkan  Bon Iver, ‘Un Dia (One Day)’ oleh J Balvin, Dua Lipa, Bad Bunny dan Tainy, dan Justin Bieber dengan ‘Intentions’ menampilkan Quavo.

Kumpulan itu menyatakan seluruh proses pencalonan merupakan satu pengalaman “yang sukar dipercayai” serta berterima klasih kepada peminat kerana menyokong mereka sepanjang perjalanan muzik mereka.

“Terima kasih semua kerana menyokong kami, terima kasih kepada anda sehingga kami mampu melalui satu pengalaman yang sukar digambarkan ini. Kami benar-benar bersyukur dan gembira. Kami sayangkan anda semua Army!” anggotanya Jimin berkongsikan dalam akaun rasmi Twitter mereka, selepas bahagian pertama bagi acara muzik tahunan di mana pemenang kategori telah diumumkan. — Bernama

Advertisement