Anda di sini

PM selesai terima dos kedua suntikan vaksin COVID-19

Advertisement
Muhyiddin sedia menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 jenis Pfizer BioNTech di Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 18, hari ini. - Gambar Bernama
Muhyiddin sedia menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 18, hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin selesai menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Putrajaya di Presint 18, di sini hari ini.

Suntikan dos kedua itu dilakukan selepas 21 hari beliau menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan pada 24 Februari lepas. 

Muhyiddin tiba di klinik itu kira-kira 3 petang dan membuat imbasan kod MySejahtera sebelum dibawa ke bilik vaksinasi untuk pendaftaran dan menerima suntikan vaksin berkenaan. 

Turut menerima suntikan ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. 

Selepas menerima suntikan, Muhyiddin mengemas kini aplikasi MySejahtera untuk menunjukkan beliau telah melengkapi dos pengambilan vaksin COVID-19.

Beliau kemudian dibawa ke bilik pemantauan untuk menunggu kira-kira 15 hingga 30 minit bagi dipantau sekiranya berlaku reaksi susulan seperti alahan atau simptom lain.

Selain Muhyiddin dan Dr Noor Hisham, turut menerima suntikan dos kedua hari ini adalah empat petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Mereka ialah Dr Tan Yee Ling, Sheilla Mellissa Sikin, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Clement a/l Marai Francis yang sebelum ini juga menjadi antara penerima terawal vaksin semasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancarkan pada 24 Feb lepas. 

Dr Tan, 30, Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya manakala Sheilla Mellissa, 31, jururawat di klinik kesihatan tersebut.

Khairul Asraf, 44, bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Pejabat Kesihatan Putrajaya dan Clement, 36, pemandu di pejabat sama.

Kesemua proses vaksinasi itu dilakukan oleh Ketua Jururawat Kesihatan di PKD Putrajaya Lina Ibrahim dan jururawat di Klinik Kesihatan Presint 9, Mazirah Mokhtar, kedua-duanya pemvaksin yang sama semasa Muhyiddin menerima dos pertama pada 24 Februari. 

Sehingga semalam seramai 346, 508 terdiri daripada petugas barisan hadapan telah menerima dos pertama vaksin. 

Perdana Menteri dan Dr Noor Hisham sebelum ini menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. - Bernama

Advertisement