Anda di sini

Penggiat seni kreatif digesa bijak ambil peluang

Advertisement
 Pengarah filem ‘The Puppet Master Trilogy’, Imran Ismail (tengah) mengangkat tangan ketika memperkenalkan barisan pelakon pada majlis pelancaran filem itu yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Zakaria Abdul Hamid di Dewan Sri Mentaloon malam kelmarin. Filem ‘The Puppet Master Trilogy’ yang akan memulakan penggambaran pada 29 Mac ini, menampilkan barisan pelakon seperti
PELANCARAN FILEM ‘THE PUPPET MASTER TRILOGY’: Pengarah filem ‘The Puppet Master Trilogy’, Imran Ismail (tengah) mengangkat tangan ketika memperkenalkan barisan pelakon pada majlis pelancaran filem itu yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Zakaria Abdul Hamid di Dewan Sri Mentaloon malam kelmarin. Filem ‘The Puppet Master Trilogy’ yang akan memulakan penggambaran pada 29 Mac ini, menampilkan barisan pelakon seperti

PENGGIAT seni dan industri kreatif tanah air perlu bijak mengambil peluang menerusi bantuan yang telah disediakan kerajaan untuk terus berkarya dan menghasilkan produk kreatif walaupun negara sedang berhadapan cabaran COVID-19.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Zakaria Abdul Hamid berkata bantuan itu bukan sahaja dapat memastikan kelangsungan pemain industri itu, malah menjamin masa hadapan produk kreatif negara.

Katanya, sebagai langkah drastik membantu industri itu menghadapi impak COVID-19 kerajaan telah memperkenalkan inisiatif Dana Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (Pelaksana) dan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma).

“Pelaksana yang dilancarkan pada Julai tahun lepas telah membantu memperkasakan semula industri kreatif yang terjejas akibat COVID-19.

“Terbaharu, Prisma telah dilancarkan yang merupakan inisiatif jangka pendek bertujuan memastikan kelangsungan dan kelestarian para penggiat industri kreatif negara dalam mendepani pandemik COVID-19,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ‘The Puppet Master Trilogy’ di Alor Setar, Kedah malam kelmarin.

Pelancaran majlis itu disempurnakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Zakaria berkata kedua-dua inisiatif itu juga adalah keprihatinan kerajaan yang bukan sahaja akan memanfaatkan penggiat seni semata-mata, malah turut membantu mereka yang bekerja di belakang tabir.

Sementara itu, Muhammad Sanusi dalam ucapannya berkata, pelancaran filem itu amat signifikan dengan usaha kerajaan negeri untuk menggerakkan ekonomi dalam pelbagai bidang termasuk perfileman, seni dan budaya terutama dalam situasi semasa ketika negara masih berperang dengan pandemik COVID-19.

“Kita juga berharap ini akan menjadi bukti nyata bahawa Kedah dalam era baharu ini berada di hadapan dalam usaha-usaha menggiatkan seni dan budaya yang tidak bertentangan dengan hukum syarak dan norma masyarakat kita,” katanya.

Filem ‘The Puppet Master Trilogy’ diilhamkan daripada kisah benar mengenai Tok Dalang Wayang Kulit tersohor di negeri ini pada era 70-an dan 80-an iaitu Mat Lebai Lateh atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Khedheng yang telah mengangkat asas budaya masyarakat Kedah iaitu Wayang Kulit Kedah dan Manora Siam Kedah.

Filem yang akan memulakan penggambaran pada 29 Mac ini di beberapa lokasi di negeri Kedah diarahkan oleh Imran Ismail dan menampilkan barisan pelakon seperti Wilma Muhammad dan Wan Hanafi Su. — Bernama

Advertisement