Anda di sini

MEDAC rancang laksana 86 program bernilai RM5.15 bilion tahun ini

Advertisement
Wan Junaidi pada sidang media selepas majlis Sambutan Setahun Malaysia Prihatin Peringkat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi hari ini. - Gambar Bernama
Wan Junaidi pada sidang media selepas majlis Sambutan Setahun Malaysia Prihatin Peringkat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan melaksanakan 86 program dengan jumlah peruntukan RM5.15 bilion pada tahun ini bagi pengembangan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata 86 program untuk usahawan dan bakal usahawan itu dilaksanakan dibawah rangka kerja Perancangan Strategik 2021 MEDAC berdasarkan pendekatan 5E iaitu “Enculture, Enable, Empower, Energise and Engage”.

Peruntukan RM5.15 bilion itu bukan hanya datang dari MEDAC tetapi juga daripada kementerian lain seperti Kementerian Kewangan termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Kami sebagai pelaksana tetapi sumber kewangan datang dari kementerian-kementerian lain," katanya, sambil menambah perlaksanaan program merangkumi pembiayaan dan moratorium; pembangunan kapasiti serta latihan; pendigitalan dan adaptasi teknologi termasuk akses kepada pasaran.

Wan Junaidi berkata demikian dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan MEDAC dan Majlis Pencapaian Satu Tahun Malaysia Prihatian Peringkat MEDAC di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Ahmad.

Dalam pada itu, beliau juga optimis dapat mencapai sasaran melahirkan 100 jutawan setiap tahun dalam kalangan usahawan PKS, yang mana agensi MEDAC iaitu Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) telah mengenal pasti individu yang boleh "didorong ke hadapan".

"Kami akan bantu mereka dalam segala aspek membabitkan pemasaran domestik dan antarabangsa termasuk pensijilan Halal supaya boleh menembusi pasaran negara-negara Islam," katanya.

Menyorot pencapaian setahun mengepalai MEDAC, Wan Junaidi melahirkan rasa puas hati dengan prestasi yang ditunjukkan kakitangan dan agensi di bawah MEDAC seperti TEKUN Nasional, SME Corp, Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN), Bank Rakyat dan SME Bank.

Mengenai pembiayaan, SME Corp melaporkan 2020 merekodkan pertumbuhan 90 peratus dalam kelulusan pembiayaannya kepada RM87.6 juta melibatkan 9,247 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berbanding RM46.1 juta dan 1,326 PKS pada 2019. 

TEKUN Nasional melaporkan pertumbuhan 55 peratus dalam pembiayaan kepada RM655.41 juta membabitkan 33,365 penerima berbanding RM423.6 juta dengan 20,675 penerima pada 2019, katanya.

Bagi mengurangkan birokrasi dan menambah baik sistem penyampaian agar usahawan terjejas mendapat bantuan pembiayaan dengan segera, MEDAC telah mengurangkan tempoh proses pembiayaan dan mempermudahkan proses permohonan.

Hasilnya, tempoh kelulusan program pembiayaan di bawah TEKUN telah dikurangkan daripada 25 hari kepada tujuh hari dan daripada 17 dokumen sokongan kepada empat dokumen sahaja, katanya.

Proses kelulusan Program Pembiayaan Bank Rakyat Cares pula dikurangkan daripada 10 hari kepada tiga hari bagi pelanggan sedia ada dan lima hari untuk pelanggan baharu, manakala proses kelulusan pembiayaan di bawah SME Bank daripada 30 hari kepada empat hari sahaja.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia pula telah mengurangkan tempoh masa pemprosesan permohonan pembiayaan di bawah Tabung Modal Pusingan Pembangunan Koperasi daripada 30 hari kepada 14 hari, katanya. - Bernama  

Advertisement