Anda di sini

Kadar kompaun sehingga RM10,000 wajar dikaji semula

Advertisement
CALVIN CHONG
CALVIN CHONG

SANDAKAN: Kadar kompaun sehingga RM10,000 yang dikuatkuasakan kerajaan baru-baru ini bagi kesalahan berulang yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) wajar dikaji semula.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun berkata ini kerana perkara tersebut telah menimbulkan kekhuatiran dan panik dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, pihaknya menyambut baik usaha menaikkan nilai kompaun bagi tujuan mendidik dan memperingati orang awam mengenai pentingnya pematuhan SOP, namun nilai tersebut agak tinggi sehingga mampu memberi tekanan kepada mereka.

Jelasnya, segelintir masyarakat masih keliru mengenai SOP yang ditetapkan dan kini mereka berdepan risiko dikenakan dikompaun sekiranya didapati melanggar SOP.

Katanya, apatah lagi ketika ini setiap lapisan masyarakat sedang berusaha untuk mematuhi SOP sepanjang masa kerana bimbang dijangkiti wabak COVID-19.

Namun, jelasnya tidak dinafikan terdapat pihak atau individu yang akan melakukan kesilapan kerana kecuaian dan kelalaian.

"Nilai RM10,000 adalah amat besar terutama bagi golongan berpendapatan rendah seperti B40 dan M40. Besar kemungkinan golongan berpendapatan tinggi juga turut terkesan dengan nilai ini.

"Walaupun nilai kompaun ini belum muktamad kerana rayuan boleh dilakukan berdasarkan budi bicara pegawai yang diberi kuasa, namun sejauh mana budi bicara tersebut ditetapkan?.

"Sebaiknya terdapat garis panduan yang tetap bagi menetapkan budi bicara seperti berpandukan kepada nilai pendapatan terkini bagi mereka yang akan dikompaun," cadang Calvin.

  • oleh
  • Advertisement