Anda di sini

Ketua Daerah Sandakan II buat laporan polis

Advertisement
 Zantapha (kanan) menunjukkan kertas laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sandakan.
LAPORAN POLIS: Zantapha (kanan) menunjukkan kertas laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sandakan.

- Nafi Mahkamah Anak Negeri Sandakan terlibat aktiviti penjualan lot tanah rizab

SANDAKAN: Ketua Daerah Sandakan II, OKK Zantapha Zainal Abidin menafikan Mahkamah Anak Negeri Sandakan terlibat dengan aktiviti penjualan lot kediaman Tanah Rizab Anak Negeri Karamunting yang dilakukan oleh pihak tertentu.

Beliau berkata, pihak Mahkamah Anak Negeri Sandakan tidak terbabit sebarang aktiviti penjualan dan pengedaran borang permohonan lot kediaman seperti yang diterima daripada seorang individu.

Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Sandakan lebih kurang jam 8.14 pagi pada Jumaat berhubung perkara itu.

Zantapha berkata dia bersama Ketua Anak Negeri Kawasan Karamunting Abidin Jinal Abidin dan Ketua Kampung Karamunting Ismail Asmat telah dipanggil oleh Ketua Daerah Sandakan I, OKK Haji Awang Damit Haji Abdul Rahim, lebih kurang jam 9 pagi pada Khamis di bangunan Mahkamah Anak Negeri Sandakan.

“Kami yang dilantik sebagai pemegang amanah Tanah Rizab Anak Negeri Kampung Karamunting di Batu 4 Jalan Cecily telah dimaklumkan oleh OKK Awang Damit terdapat aktiviti penjualan lot kediaman tanah rizab berkenaan selepas dia (OKK Awang Damit) menerima maklumat mengenai perkara itu melalui aplikasi WhatsApp dari seorang individu,” katanya.

Zantapha berkata terdapat dokumen yang digambarkan seolah-olah telah dikeluarkan oleh pemegang amanah menggunakan kertas jabatan, alamat jabatan, nombor telefon jabatan dan cop Mahkamah Anak Negeri.

Berkaitan dengan itu, beliau bersama Abidin dan Ismail telah hadir ke Balai Polis Sandakan untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Saya menafikan pihak Mahkamah Anak Negeri Sandakan terlibat sebarang aktiviti sama ada pengedaran borang permohonan lot kediaman tanah rizab dan penjualan lot kediaman kawasan terbabit,” tegasnya.

Zantapha percaya bahawa perkara ini dilakukan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

“Oleh itu, saya telah memohon kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau memberitahu dokumen-dokumen berkaitan juga telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

  • oleh
  • Advertisement