Anda di sini

Kemuncak Anugerah Juara Lagu 35 dengan SOP ketat malam esok

Advertisement
 Lagu ‘Belenggu Rindu’ nyanyian Wany Hasrita dan Dato’ Jamal Abdillah antara 12 lagu yang akan bertanding bagi merebut gelaran Juara Lagu dalam AJL35, malam esok.
KE AJL35: Lagu ‘Belenggu Rindu’ nyanyian Wany Hasrita dan Dato’ Jamal Abdillah antara 12 lagu yang akan bertanding bagi merebut gelaran Juara Lagu dalam AJL35, malam esok.

KEMUNCAK Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) dijangka akan bersiaran secara langsung di TV3 esok bermula jam 9 malam dari Auditorium MBSA, Shah Alam selepas terpaksa ditunda berikutan pandemik COVID-19.

AJL35 norma baharu tanpa kehadiran penonton yang akan dihoskan oleh Sherry Alhadad, Haziq Hussni dan Awal Ashaari ini sepatutnya diadakan pada 7 Februari lepas namun terpaksa ditunda disebabkan oleh pelanjutan tempoh PKP.

Saksikan juga Debaran AJL35, sebuah program khas berdurasi satu jam bersama Sherry Alhadad dan Haziq Hussni yang menyingkap setiap sudut persiapan AJL35 hari ini secara langsung pada jam 5.30 petang hingga 6.30 petang, di TV3.

Selain itu, para penonton di rumah berpeluang untuk saksikan temu bual eksklusif di karpet merah yang digelar Lounge AJL35 bersama Muaz Mohamed (Kool FM) dan Sissy Imann setengah jam sebelum acara kemuncak bermula iaitu pada jam 8.30 malam esok di TV9.

Anugerah Juara Lagu merupakan sebuah pertandingan muzik tahunan berprestij yang dianjurkan oleh stesen penyiaran TV3 bagi mengangkat karya komposer, penulis lirik dan penyanyi tanah air sejak tahun 1986.

Setiap lagu yang dipertandingkan telah melalui pencalonan di program mingguan Muzik-Muzik, seterusnya bertanding di pentas Muzik-Muzik Separuh Akhir dan akhirnya 12 buah lagu terbaik dipilih untuk bertandingan di Anugerah Juara Lagu.

Anugerah Juara Lagu akan menobatkan Juara Lagu, Tempat Kedua, Tempat Ketiga, Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik.

‘Belenggu Rindu’ nyanyian Wany Hasrita dan Dato’ Jamal Abdillah antara 12 lagu yang mara ke AJL35 pada malam esok. Lagu yang digubah dan ditulis oleh Hael Husaini dan Ezra Kong itu telah dinobatkan sebagai lagu terbaik dalam episod ketiga Muzik Muzik 35 Separuh Akhir (SFMM35).

Selain lagu ‘Belenggu Rindu’, dua lagu lain yang telah diangkat sebagai lagu terbaik dalam dua episod SFMM35 yang lalu iaitu ‘Hati’ nyanyian Hael Husaini dan ‘7 Nasihat’ juga berjaya melangkah ke AJL35.

Lagu-lagu lain yang turut mara ke AJL35 adalah ‘Aku Bidadari Syurgamu’ nyanyian Aishah, ‘Hutang’ (Floor 88), ‘Kau Sakiti’ (Amir Masdi), ‘Gundah’ (Ernie Zakri), ‘Gila’ (Kaka Azraff, Noki & Loca B), ‘Jangan Khianati Aku’ (Azlan & The Typewriter), ‘Eh’ (Zizi Kirana), ‘Semalam’ (Aina Abdul) dan ‘Peluang Kedua’ (Nabila Razali).

Penganjuran AJL kali ini akan dikendalikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat, dan finalis AJL35 diwajibkan menandatangani aku janji yang telah disediakan oleh Jabatan Perundangan syarikat agar tidak menonjolkan elemen yang boleh mencetuskan kontroversi dalam persembahan seperti yang berlaku dalam penganjuran yang lepas.

Selain itu, kesemua finalis dan penghibur yang terbabit dalam penganjuran kali ini juga turut diwajibkan melakukan ujian calitan COVID-19 sebelum mereka dibenarkan memasuki dewan MBSA. Mana-mana artis yang didapati positif hasil ujian calitan berkenaan akan diminta mencari pengganti segera.

AJL35 menampilkan penaja utama, McDonald’s Malaysia, “Meriahkan Anugerah Juara Lagu 35 di rumah sambil menikmati menu McD kegemaran anda melalui McDelivery! Bila teringin, McDelivery hantar. Senang”.

Selain itu, AJL35 disokong oleh penaja-penaja bersama iaitu Celcom Xpax, “Truly Unlimited. Internet Tanpa Had, 2x lebih pantas di rangkaian yang terluas”  dan Sabella serta Shell selaku rakan penaja.

Selain itu, AJL35 turut disokong oleh rakan-rakan pemasaran, rakan radio Hot FM dan Kool FM serta rakan digital Senang Terhibur, OHBULAN! dan xtra.com.my.

Untuk maklumat lanjut, para penonton boleh layari www.anugerahjuaralagu.com serta laman media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter TV3 Malaysia dan Senang Terhibur.

Ikuti juga trend semasa perbualan alam maya melalui #AJL35.

Advertisement