Anda di sini

Tipu keputusan ujian COVID-19

Advertisement
 

KUCHING: Polis menangkap 11 lelaki di sekitar daerah ini berhubung penipuan dokumen sijil keputusan ujian rt-PCR COVID-19. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Superitenden Maria Rasid (gambar) berkata dua laporan polis berhubung penipuan ini dibuat Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan Jabatan Ketua Menteri pada 6 dan 8 Mac 2021. 

Katanya siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat dan denda.

“Susulan dari laporan, polis telah membuat tangkapan 11 lelaki di sekitar daerah Kuching pada 7 dan 12 Mac 2021. 

“Turut dirampas satu unit telefon bimbit serta beberapa keping kad sim milik seorang suspek. 

“Lapan suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala tiga lagi suspek yang baru ditangkap hari ini masih dalam tindakan lanjut pihak polis,” katanya pada sidang media JPBNS hari ini yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas. 

Tambah Maria, kedua-dua kes penipuan ini melibatkan klinik swasta dan menawarkan bayaran antara RM50 hingga RM100. 

Kertas siasatan katanya akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Malaysia Negeri Sarawak dengan cadangan pertuduhan kes dalam tempoh yang terdekat setelah siasatan selesai. 

Maria turut menegaskan polis memandang serius isu penipuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 ini kerana ia membahayakan kesihatan orang ramai. 

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai menjadi rakyat yang bertanggungjawab dan tidak menipu laporan saringan COVID-19. 

Selain itu katanya premis kesihatan atau makmal yang menawarkan perkhidmatan ujian saringan COVID-19 juga perlu bertanggungjawab dan tidak menipu dalam soal ini.

  • oleh
  • Advertisement