Anda di sini

Projek komuniti pondok Internet Estranged jadi kenyataan

Advertisement
 Estranged bersama Rechellyna dan Ryveraa.
PROJEK AMAL: Estranged bersama Rechellyna dan Ryveraa.

ESTRANGED, sebuah band rock tempatan telah menjayakan sebuah projek komuniti pondok Internet di Kampung Bomboi, Keningau, Sabah untuk dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau, Rechellyna Rinus, 17, dan Ryveraa Rinus, 15, dan juga komuniti setempat.

Dua pelajar tersebut yang baru-baru ini viral di media sosial hasil rakaman video oleh bapa saudara mereka, Nick Atie Tangkapas (Nick), yang menyaksikan mereka melakukan pembelajaran online di dalam kebun kelapa sawit di bawah sebuah pondok yang dibina beratapkan beg plastik yang mereka namakan ‘Puru Online’, mendapat perhatian Estranged.

Estranged, bersama pengurusnya Matthew Thomas Phillip, telah menganjurkan sebuah konsert dalam talian yang dinamakan ‘Double Trouble’ dan berjaya meraih kutipan sebanyak RM10,000 bagi pembinaan pondok baharu di atas tanah milik Nick untuk kegunaan dua pelajar tersebut.

Selang beberapa bulan, pondok internet itu kini dikuasakan oleh unifi, Internet jalur lebar berkelajuan tinggi, yang kini boleh dinikmati oleh dua pelajar itu dan komuniti sekeliling untuk memenuhi keperluan seharian.

Dengan kejayaan projek pondok internet tersebut, Estranged bersama-sama rakan ahli muzik Alena Murang dan Awangku Huzriuden (Ojie) dari Stonebay serta Dr Nadia Widyawati dari Fakulti Muzik UiTM (ahli kolaborasi projek muzikal Roads To Our Heritage (RTOH) yang dibiayai oleh geran DKD dari KKMM) akan melawat Kampung Bomboi dan memaparkannya dalam siri dokumentari mereka kelak.

Vokalis band Richael Lawrence Gimbang atau lebih dikenali sebagai Rich berkata, “Kami sangat gembira dan berbesar hati dengan sokongan orang ramai, KKMM dan pasukan TM di Sabah yang bersama-sama memastikan Rechellyna dan Ryveraa dapat mengakses internet untuk pembelajaran mereka.

“Mereka juga dapat belajar dengan selamat di dalam pondok internet baharu yang kami bina ini hasil derma yang kami terima daripada pelbagai individu pemurah. Kami sangat berterima kasih dengan segala sumbangan yang diberikan.

“Kami amat memahami bahawa pandemik COVID-19 ini memberi kesan bukan sahaja kepada pendidikan dan perusahaan tetapi kelangsungan hidup turut terjejas, maka kami berharap bahawa objektif kami untuk lebih dekat dengan komuniti melalui pelbagai projek komuniti dapat membantu mengetengahkan kesukaran penduduk setempat yang perlu didengar,” kata Rich.

Bersempena dengan kejayaan pondok internet Kampung Bomboi, Estranged telahpun merilis single terbaharu berjudul ‘Tujuan’ pada 26 Februari lepas.

Bercakap tentang lagu tersebut, gitaris Estranged Nor Hanafi (Hanafi) berkata, lagu ini ditulis dengan mesej untuk menginspirasi mereka yang sedang melalui waktu yang sukar ataupun kemurungan.

“Walau sesulit mana pun halangan hidup, kita harus mengharunginya, bangkit semula dan suatu masa nanti kita pasti akan menemukan tujuan hidup kita. Yang peliknya, lagu ini adalah sebuah lagu lama,” kata Hanafi.

Tambahnya, “Ia merupakan sebuah single yang kami cadang untuk menggunakannya untuk sebuah acara di UK tetapi rupa-rupanya ia hanyalah ‘scam’. Kami fikir inilah pengakhirannya akan tetapi insiden tersebut membuatkan kami melihat semula, mengubah dan menyusun semula dan memberikannya sebuah tujuan.

“Inilah cabaran dalam membuat lagu ini apatah lagi dengan keadaan pandemik terutamanya untuk menyusun dan merakam semula. Tidak kurang juga ia memakan masa yang lama namun kami dapat melaluinya. Lagu ‘Tujuan’ ini akan dirilis beserta muzik video yang diarahkan oleh gitaris kami, Din,” katanya.

Din Hormatov (Din) pula menambah, “Ini merupakan kali pertama kami membuat penggambaran menggunakan skrin hijau. MV ini menampilkan Francisca Luhong yang juga merupakan Miss Universe Malaysia terkini. Idea permulaannya muncul sebelum lirik lagu selesai. MV ini sepatutnya mirip sebuah video PKP dari rumah. Tetapi idea mula bercambah apabila Rich mengirim rakaman vokal dan liriknya.

“Kami tidak mampu untuk membuat penggambaran dengan keseluruhan ahli kerana PKP jadi kami melakukannya secara DIY dari rumah, berseorangan. Saya dibantu oleh Alena Murang sebagai pengarah-bersama dan kami sangat beruntung dan bersyukur kerana berjaya mendapatkan Francisca Luhong untuk menjadi sebahagian dari MV ini.

“Kami mula membuat penggambaran sebelum PKP. ‘Story board’ saling berubah berikutan SOP yang sangat ketat dan kami kurang fleksibel untuk membuat penggambaran suasana luar dan dalam. Ahli-ahli band merakam diri mereka sendiri di rumah dan saya harus menyiapkan MV ini dengan kurang dari 10 video daripada ahli-ahli band, yang mungkin tidak adil untuk lagu ini. Saya belajar secara online tentang animasi dan efek skrin hijau dan turut membeli beberapa alatan secara online untuk menambah baik MV ini.

“Kami turut bernasib baik kerana mempunyai banyak rakaman lama pelbagai seni jalanan di dalam dan luar KL yang kami gunakan dalam video ini sebagai latar belakang berlainan. Cabaran untuk menggabungkan band, lukisan dan seni jalanan dari arkib kami kemudian ditambah pula dengan situasi pandemik amatlah menyukarkan. Lagu ini sendiri memberi maksud untuk tidak putus harapan dan sentiasa ada semangat yang tinggi dalam keadaan seperti ini,” kata Din.

‘Tujuan’ kini boleh distrim di semua platform digital. Video muzik juga telah dimuatnaik di Youtube. Untuk maklumat terkini tentang ‘Tujuan’ dan Projek Komuniti Estranged, sila ikuti platform media sosial rasmi mereka.

Advertisement