Anda di sini

NGO kewartawanan sokong usul tubuh yayasan kebajikan wartawan, pengamal media

Advertisement
YONG, LEONG DAN CHRISTY
YONG, LEONG DAN CHRISTY

KOTA KINABALU: Tiga badan bukan kerajaan (NGO) kewartawanan di negeri ini menyokong penuh usul menubuhkan Yayasan Kebajikan Wartawan/Pengamal Media oleh Kerajaan Persekutuan.

Ketiga-tiga pertubuhan juga senada dengan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya supaya penubuhan yayasan itu dapat disegerakan.

Begitu juga usul supaya wartawan dan pengamal media diberi keutamaan dalam Program Imunisasi Vaksin Kebangsaan berikutan terdedah dengan risiko COVID-19 sebagai petugas hadapan.

Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) Yong Ted Phen berkata yayasan terbabit penting untuk memastikan kebajikan wartawan dan pengamal media mendapat pembelaan sewajarnya.

"Ramai wartawan dan pengarang kehilangan pekerjaan, bahkan menanggung pemotongan gaji kesan pandemik COVID-19," katanya, ketika dihubungi Utusan Borneo, di sini semalam.

Yong berkata di negeri ini sendiri menyaksikan salah satu akhbar tertua di Sabah terpaksa ditutup pada tahun lepas menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan ketika masa sukar.

Menurutnya, wartawan membuktikan komitmen mereka bertugas sebagai petugas hadapan saat pandemik melanda untuk memastikan maklumat terkini dapat disampaikan kepada orang ramai.

"Kita amat berharap kerajaan memberikan bantuan sewajarnya kepada pengamal media termasuk memberikan keutamaan kepada wartawan untuk menerima vaksin," katanya.

Pengerusi Persatuan Media Sandakan (PEMASSA) James Leong turut menyambut baik usul penubuhan yayasan kebajikan berkenaan kerana pengamal media dan wartawan turut terjejas dengan pandemik dan peralihan digital.

"Kita menyokong kenyataan Dr Chamil bahawa kerajaan bukan sahaja perlu menyegerakan penubuhan yayasan itu tetapi memastikan peruntukan secukupnya diberikan," katanya.

Leong berharap yayasan itu dapat dipastikan benar-benar berfungsi dengan baik, malah memberi bantuan segera kepada wartawan dan pengamal media termasuk organisasi media.

Beliau juga berharap kerajaan menghubungi semua NGO di seluruh negara termasuk PEMASSA supaya dilibatkan secara langsung untuk memastikan bantuan golongan sasar dapat dikenalpasti dengan tepat.

"Di Sabah sahaja, terdapat enam persatuan media yang boleh membantu dalam penyelarasan penyaluran bantuan kepada golongan  yang terjejas," katanya.

Setiausaha Persatuan Pemberita Tawau (PPT) Christy Chok Lee Lui turut optimis dengan usul penubuhan yayasan yang akan menjaga kebajikan wartawan dan pengamal media.

Christy berkata pihaknya tertarik kerana buat julung-julung kali kerajaan memberikan perhatian secara spesifik menerusi usaha rasmi melalui penubuhan yayasan berkenaan di negara ini.

"Rasanya ini kali pertama kita mendengar ada inisiatif sebegini hendak dibuat oleh kerajaan, jadi sudah tentu kita gembira dan amat mengalu-alukan penubuhannya," katanya.

Beliau berkata situasi dunia kewartawanan sudah mengalami perubahan ketara dalam tempoh yang begitu singkat dengan memberikan kesan secara langsung kepada semua pihak berkaitan.

"Kesan dunia digital dan pandemik bukan hanya terhadap wartawan dan pengamal media, tetapi juga kepada organisasi media yang terpaksa mengambil langkah drastik untuk bertahan.

"Ada yang terpaksa mengurangkan kos operasi dengan menurunkan kapasiti pengeluaran bahan penerbitan, memotong gaji staf dan menutup bahagian tertentu, untuk mengelak gulung tikar.

"Bahkan, kita melihat organisasi media yang terpaksa ditutup operasinya kerana tidak mampu bertahan dengan tekanan - tekanan dalam bentuk baharu khususnya kehilangan iklan", katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Zahidi Zainul Abidin mengumumkan hasrat untuk menubuhkan sebuah yayasan khusus menjaga kebajikan wartawan dan pengamal media di negara ini yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

  • oleh
  • Advertisement