Anda di sini

Mayat lelaki dikhuatiri diserang buaya ditemui

Advertisement
Mayat mangsa dibawa naik ke jeti sebelum dihantar ke Hospital Dalat untuk pemeriksaan lanjut. - Gambar ihsan polis

SIBU: Mayat lelaki yang dilaporkan hilang di Kampung Kuala Oya, ditemui dengan kesan kecederaan dipercayai akibat gigitan buaya, kata Ketua Polis Daerah Dalat DSP Saga Chunggat.

Menurutnya, kecederaan serius dilihat pada bahu kiri, telinga kiri dan paha kanan yang sinonim dengan kesan serangan binatang buas.

"Semua bentuk badan masih lengkap," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Saga berkata mayat mangsa yang dikenali sebagai Alibaba Dahri dijumpai oleh seorang penduduk Kampung Senau jam lebih kurang 5 pagi tadi ketika dia turun ke jeti untuk memeriksa perahu, dan ternampak satu objek seperti manusia tersangkut pada batang kayu dekat jeti. 

"Pihak polis dimaklumkan tentang penemuan tersebut sekitar jam 6.15 pagi oleh penduduk kampung," katanya 

Menurutnya lagi, setelah dimaklumkan beliau bersama Ketua Polis Balai Oya terus bergegas dari Dalat ke Oya untuk tindakan lanjut. 

Saga berkata, apabila sampai di lokasi jam 7 pagi dengan bot, mayat sudah dikeluarkan dari tebing air dengan bantuan penduduk kampung. 

"Mayat dibawa ke Hospital Dalat untuk pemeriksaan doktor/forensik. 

"Selesai kelak jenazah diserah kepada keluarga untuk urusan pengkebumian," jelasnya lagi.

Kehilangan mangsa dilaporkan kepada pihak polis di Balai Polis Oya pada Sabtu lalu sekitar jam 4 pagi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian diaktifkan seawal jam 7.30 pagi semalam melibatkan pelbagai agensi seperti polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan penduduk-penduduk kampung berhampiran dengan jumlah yang terlibat lebih kurang 200 orang dan 30 buah bot. 

Dengan penemuan mayat mangsa, operasi SAR ditamatkan pada jam 8 pagi ini.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata mangsa ditemui di Kampung Senau pada jarak radius lapan kilometer dari pos kawalan operasi Bomba.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Dalat untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, saudara mangsa melaporkan bahawa mangsa pergi menangkap udang di Sungai Oya sekitar jam 1 pagi pada Sabtu.

Beberapa penduduk kampung memberitahu perahu mangsa dijumpai hampir karam di sungai tetapi tidak ada tanda-tanda mangsa di situ.

Berikutan itu, pengadu membuat laporan kepada polis dan meminta bantuan Bomba, katanya.

Berita berkaitan: Nelayan hilang dikhuatiri dibaham buaya

Advertisement