Anda di sini

Usahawan kecil digesa daftar perniagaan, mudahkan terima bantuan

Advertisement
 

KOTA BAHRU: Usahawan kecil di negara ini diseru supaya segera mendaftar perniagaan mereka bagi memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ser Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) berkata dianggarkan terdapat kira-kira 1.5 juta usahawan kecil di negara ini, namun berdasarkan bancian pada 2019, hanya 1.2 juta usahawan kecil mendaftarkan perniagaan mereka.

“Saya harap mereka segera daftarkan perniagaan masing-masing supaya mudah mendapat bantuan kerajaan secara strategik.

“Apabila mendaftar mereka bukan sahaja boleh mendapatkan bantuan daripada MEDAC, malahan kementerian serta agensi kerajaan lain seperti bantuan kewangan dan juga latihan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi Meet and Greet MEDAC’ bersama TUBERS Kelantan, pada Jumaat (5 Mac).

Ketika ditanya antara alasan usahawan kecil tidak mendaftar, Wan Junaidi rata-rata bimbang sekiranya mendaftar bantuan yang diterima sebelum ini akan ditamatkan selain perlu membayar cukai pendapatan.

“Saya beri contoh usahawan kecil menjual pisang goreng dalam golongan B40 mereka bimbang sekiranya mendaftar perniagaan seterusnya menjadi pemilik syarikat, bantuan yang diterima sebelum ini tidak lagi diterima.

“Mereka perlu sedar sekiranya meraih pendapatan contohnya RM5,000 sebulan belum tentu perlu bayar cukai kerana masih ada beberapa pengecualian yang kerajaan diberikan,” katanya. - BERNAMA

Advertisement