Anda di sini

Program Rintis Rakyatpreneur bantu golongan asnaf, B40 kembangkan perniagaan

Advertisement
 
 

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat memperkenalkan program Rintis Rakyatpreneur bagi membantu lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya golongan asnaf dan berpendapatan rendah untuk mengembangkan perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) berkata walaupun ekonomi negara dijangka bertambah baik pada tahun ini susulan pelancaran vaksin, namun masih terdapat perniagaan yang terjejas dan belum dapat beroperasi sepenuhnya susulan sekatan pergerakan. 

Justeru, beliau berkata program Rakyatpreneur adalah  bertepatan dengan usaha MEDAC dalam membantu usahawan B40 termasuk perniagaan informal yang terjejas teruk ekoran pandemik itu. 

“Sememangnya situasi pasca COVID-19 amat mencabar keupayaan usahawan untuk meneruskan perniagaan yang mana memerlukan kestabilan mental dan emosi dalam menangani situasi sukar,” katanya ketika berucap merasmikan program itu secara maya, hari ini. 

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata program itu telah dilancarkan pada Disember tahun lepas yang disertai 20 peserta terpilih dari seluruh Malaysia iaitu pengusaha mikro dengan purata pendapatan bulanan purata antara RM1,000 hingga RM3,000.

Katanya, peserta Rakyatpreneur menerima suntikan dana berjumlah RM5,000 seorang dan diberi latihan keusahawanan melalui webinar daripada rakan pelaksana, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

“Semua peserta telah mengikuti modul asas keusahawanan, pemasaran melalui media sosial dan Business Model Canvas sejak program itu mula diperkenalkan dan akan diteruskan dengan sehingga akhir program,” kata Abd Rani.

Beliau berkata pemantauan berkala oleh eksekutif mikro di cawangan juga dilaksanakan bagi memastikan peserta Rakyatpreneur mendapat pemahaman, kemahiran dan bimbingan langsung dalam menguruskan perniagaan masing-masing dengan cekap dan sistematik.

Katanya, Bank Rakyat akan meneruskan program Rakyatpreneur 2.0 pada Julai 2021 dengan skala yang lebih besar iaitu melibatkan penyertaan lebih 200 peserta.

Peserta Rakyatpreneur 2.0 akan diberi latihan dan bimbingan serta pemantauan selama setahun dengan penyediaan modul yang lebih komprehensif untuk melahirkan usahawan dalam kalangan asnaf yang relevan dengan pasaran ekonomi yang kompetitif. 

Justeru, pelbagai program dan inisiatif Rakyatpreneur 2.0 dirancang melalui kerjasama dengan universiti tempatan, agensi kerajaan dan usahawan berpengalaman.

“Kerjasama strategik itu akan menambah baik pelaksanaan Rakyatpreneur sedia ada dan dijangkakan membantu meningkatkan  pendapatan peserta sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan pada masa hadapan,” katanya. - Bernama  

Advertisement