Anda di sini

Analisis: Kenapa perlu katakan ya untuk vaksin

Advertisement
 

MESKIPUN fasa pertama vaksin COVID-19 telah tiba di Malaysia dan kumpulan pertama penerima telahpun menerima suntikan masing-masing namun yang tetap menjadi isu ialah kita masih lagi bercakap, cuba menyakinkan setiap orang untuk menerima suntikan vaksin.

Media sosial seperti Facebook dan Twitter, dihujani dengan hantaran catatan anti vaksin dan ia dilihat semakin lantang lagi bila hampirnya perasmian Program Imunisasi COVID-19 Nasional.

Persoalannya adakah jumlah mereka yang anti vaksin ini cukup besar untuk mampu menghentikan usaha vaksinasi secara besar-besaran, ia masih belum dapat dilihat.

Anggota exco Kempen Perancangan Strategik dan Vaksinasi, Medical Mythbusters Malaysia, Dr Megat Mohammad Amirul Amzar berkata, pihaknya telah menjalankan gerakan mengesan catatan hantaran media sosial mengenai vaksin ini.

Dr Amirul berkata, beliau mendapati berlakunya peningkatan dalam perbincangan mengenai anti vaksinasi setelah vaksin COVID-19 yang pertama diluluskan.

“(Kami dapati) terdapat individu baru yang muncul dan menjadi sangat lantang bersuara mengenai vaksinasi ini. Kami melihat jumlah mereka yang anti vaksin dalam Facebook meningkat sebanyak dua kali ganda selepas wabak itu bermula,” katanya.

Amaran itu yang kebanyakannya disasarkan kepada vaksin Pfizer-BioNTech yang menggunakan teknologi m-RNA baru, hingga ia berkisar kepada perkara yang tidak masuk akal - iaitu vaksin m-RNA akan mengubah DNA seseorang atau mempunyai cip 5G yang akan mengawal mereka - dengan alasan - vaksin kebiasaannya mengambil masa lama untuk diluluskan jadi bolehkah kita mempercayai sesuatu yang dikeluarkan dalam setahun?

Mengenai kebimbangan terhadap kelajuan kelulusan vaksin COVID-19 berbanding vaksin lain sebelumnya, para pakar menyatakan bahawa keadaan semasa vaksin lain sebelum ini dihasilkan adalah berbeza.

Dr Amirul berkata, satu sebabnya adalah vaksin lain sebelum ini tidak berhadapan dengan jangkitan aktif dan tidak terkawal yang mempengaruhi hampir semua negara pada masa yang sama.

“Kami mempunyai ramai sukarelawan (untuk fasa percubaan manusia)… COVID-19 yang mempengaruhi seluruh dunia sehingga cukup mudah untuk mendapatkan orang yang boleh menjadi sukarelawan untuk sebahagian daripada kajian ini,” katanya.

Perubahan struktur untuk pengembangan vaksin juga telah membantu mempercepat, seperti  “perkongsian maklumat secara besar-besaran” antara saintis dan penyelidik dalam ujian klinikal masa-nyata dan bersamaan.

“Ini adalah situasi kecemasan yang tepat dan benar,” kata pakar virologi dan Dekan Bersekutu dan Profesor di Universiti Nottingham-Malaysia, Prof Dr Sandy Hwei San, 

"(Pembuat vaksin) mengikuti prosidur yang tepat untuk menguji vaksin; cuma kelajuannya 10 kali lebih pantas,” tambah beliau.

Beliau juga berkata, orang ramai perlu segera mengambil vaksin bagi melindungi seramai mungkin orang sebelum mutasi menjadikan vaksin tidak berkesan.

“Kita perlu bersaing dengan kecepatan mutasi,” katanya dan menambah bahawa vaksinasi penduduk akan memberi masa bagi pembuat vaksin untuk menyesuaikan dengan mutasi baru yang signifikan dan menyelamatkan nyawa.

Sekiranya kadar kematian COVID-19 global sama dengan Malaysia pada 0.4 peratus, ini bermakna 31.4 juta orang akan mati tanpa vaksin. Oleh kerana vaksin menunjukkan kadar keberkesanan antara 50 hingga 95 peratus, vaksinasi akan mengurangkan jumlah kes dan kematian yang teruk, pada masa yang sama membenarkan aktiviti kehidupan dan ekonomi kembali normal.

Namun, menyakinkan orang ramai untuk melakukan apa yang baik untuk diri dan orang yang disayangi mungkin bukan sesuatu yang mudah seperti mana hasil dapatan yang diperoleh profesor perubatan geriatrik Universiti Putra Malaysia, Prof Tan Maw Pin.

Beliau berkata, anggota keluarga dan penjaga ragu-ragu untuk membenarkan vaksinasi ke atas orang tua walaupun warga emas adalah orang yang paling mudah menderita dan mati akibat COVID-19.

“Kami selalu mempunyai masalah berikutan campur tangan ketika berurusan dengan warga emas. Mereka selalu berkata, “Adakah selamat?” Baiklah, selamatkah setelah menerima vaksin COVID-19 nanti?” katanya pada persidangan maya baru-baru ini mengenai Pelan Vaksinasi untuk Kakitangan dan Penduduk di Pusat Penjagaan Warga Emas.

Sebahagian daripada kebimbangan itu disebabkan oleh laporan kematian dalam kalangan orang yang telah menerima vaksin, semasa percubaan dan setelah mereka diberi vaksin termasuk kematian 23 orang tua di Norway. Siasatan selanjutnya mendapati semua kematian adalah secara kebetulan dan bukan disebabkan oleh vaksin.

Dalam kes 23 kematian itu, Agensi Perubatan Norway memberitahu jurnal perubatan ‘The BMJ” bahawa mereka sudah sangat uzur dan menghidap penyakit serius.

Dr Amirul berkata, orang ramai mendengar berita mengenai kematian dalam kalangan mereka yang baru menerima suntikan imunisasi, tetapi ramai yang tidak faham bahawa korelasi tidak bermaksud sebab-akibat.

“Menurut statistiknya, terdapat kira-kira 400 kematian berlaku (mingguan) bagi kumpulan umur berkenaan. Tanpa vaksinasi, kematian akan tetap berlaku kerana penyakit dan lanjut usia,” katanya.

Sehingga 15 Januari, lebih 20,000 dos telah disalurkan di Norway.

Untuk mengatasi salah maklumat dan maklumat tidak betul, apa yang dikatakan dan bagaimana dikatakan adalah suatu yang sangat penting.

Syarikat penyelidikan pasaran global (IPSOS) berpendapat pemesejan vaksin memainkan tanggungjawab moral kepada seseorang di samping menekankan selamatnya menerima suntikan. Dan terdapat banyak data untuk menyokongnya. Hampir setiap hari, ada kajian yang diterbitkan mendapati vaksinasi boleh mengurangkan kadar penularan dan kemasukan ke hospital dan penurunan kadar kematian.

Tetapi pemesejan vaksin seharusnya tidak hanya dilakukan atas tanggungjawab sivik dan pentingnya melindungi masyarakat. 

Meskipun pemeriksaan fakta dan mendidik masyarakat mengenai ilmu mengenai vaksin dilakukan, namun memberi tumpuan kepada manfaat imunisasi harus menjadi sebahagian daripada pesanan kesihatan awam untuk meningkatkan penyertaan penerimaan vaksin.

Para pakar termasuk ahli sosiologi Zeynep Tufekci, mencadangkan orang ramai bukan sahaja diberi amaran agar mengambil langkah berjaga-jaga terhadap COVID-19, malah kempen vaksin perlu menghentikan “underselling” vaksin dengan menekankan positif peribadi daripada vaksinasi besar-besaran.

Dr Amirul turut bersetuju dengan pendapat itu dan berkata, vaksin memberi peluang terbaik kepada orang ramai untuk kembali kepada kehidupan mereka sebelum munculnya COVID-19.

“Ia mudah… jika anda tidak dijangkiti, anda tidak akan menyebarkannya kepada orang lain. Apabila anda tidak menyebarkan kepada orang lain, kejadian kes akan turun dan akhirnya wabak ini akan hilang dengan sendirinya,” katanya. - Bernama

Advertisement