Anda di sini

PKPD Kampung Sungai Maong dilanjut sehingga 4 Mac, sebahagian flat Sibu Jaya hingga 11 Mac

Advertisement
Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan meninjau pelaksanaan PKPD Kampung Sungai Maong pada 17 Februari lalu. - Gambar fail
Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan meninjau pelaksanaan PKPD Kampung Sungai Maong pada 17 Februari lalu. - Gambar fail

KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sungai Maong, di sini yang bermula pada 17 Februari lalu dilanjutkan sehingga 4 Mac ini, kata Majlis Keselamatan Negara (MKN).

MKN menerusi notis pemakluman prosedur operasi standard (SOP) yang dikemas kini Selasa, berkata ia sepatutnya berakhir 2 Mac, namun perlu disambung selama dua hari lagi.

“Lanjutan PKPD di Kampung Sungai Maong ini bermula pada 3 Mac (12.01 pagi) sehingga 4 Mac 2021 (11.59 malam),” katanya.

Kampung Sungai Maong diletakkan di bawah PKPD kerana kemunculan Kluster Sungai Maong setelah seorang penduduk yang bekerja sebagai anggota keselamatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) dijangkiti COVID-19.

 

Selain itu, MKN berkata, bagi kawasan rumah pangsa dan perumahan Town Villa di Sibu Jaya, PKPD hanya akan dilanjutkan di blok rumah pangsa C, H, J, K, L, N dan R mulai 5 Mac 2021 (12.01 pagi) sehingga 11 Mac 2021 (11.59 malam)

Untuk rekod, kawasan itu pertama kali diletakkan di bawah PKPD pada 12 Februari hingga 25 Februari kerana jumlah kes COVID-19 yang tinggi, dan kemudian dilanjutkan dari 26 Februari hingga 4 Mac ini.

Sepanjang PKPD di kedua-dua kawasan terbabit, MKN berkata, Polis Diraja Malaysia (PRDM) akan bertanggungjawab melaksanakan kawalan ke atas kawasan tempatan jangkitan dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA.

Antara kawalan yang dilakukan, katanya, semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup. 

“Selain itu pergerakan keluar masuk pegawai bertugas ke dalam kawasan PKPD adalah tidak dibenarkan. 

"Bagaimanapun pertimbangan boleh diberikan oleh pihak PDRM dan KKM berdasarkan case by case basis," jelasnya sambil menambah tiada tetamu dan pelawat luar dibenarkan masuk dalam tempoh PKPD berkuat kuasa.

Jelasnya lagi, semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing sepanjang pelaksanaan PKPD.

"Semua penduduk tidak dibenarkan untuk keluar dan masuk ke atau dari kawasan PKPD.

“Bagaimanapun, bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada PDRM,” ujarnya.

Wakil keluarga katanya, boleh menghubungi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Kuching atau Bilik Operasi PKPD.

"Semua surau, masjid, rumah ibadat lain dan sekolah di dalam kawasan PKPD juga ditutup sepanjang tempoh ini. Semua sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi. Aktiviti sosial, rekreasi dan budaya serta sektor ekonomi adalah tidak dibenarkan," katanya.

JPBNS memberitahu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk terlibat.

Pemberian keperluan makanan ujarnya, akan diselaraskan secara bersama oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian masing-masing.

"Sumbangan bantuan oleh NGO sepanjang tempoh PKPD adalah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Kuching," katanya. 

  • oleh
  • Advertisement