Anda di sini

Wabak ASF: 22 ekor babi di Pitas dimusnahkan

Advertisement
DR JEFFEREY
DR JEFFEREY

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menghapuskan 22 ekor babi di Pitas dalam fasa pertama usaha mengekang penularan wabak Demam Selesema Babi Afrika (ASF) di daerah itu.

Langkah awal kerajaan terbabit dijalankan sebelum diperluaskan terhadap 2, 000 ekor babi yang dianggarkan berada di Pitas dan kira-kira 1, 000 babi hutan pada radius 50km.

Usaha itu disahkan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan menerusi kenyataan medianya, lewat petang tadi.

Menurutnya, lebih banyak babi akan dihapuskan dalam tempoh terdekat, malah spesis babi hutan dan babi liar di sekitar Pitas juga berada dalam pertimbangan pihaknya.

“Kita akan ambil langkah ini jika perlu dalam usaha untuk memastikan wabak ASF yang melanda di Daerah Pitas tidak merebak ke daerah-daerah berhampiran,” katanya.

Dr Jeffrey berkata kempen kesedaran awam terhadap bahaya wabak terbabit kini digerakkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di sekitr 25 perkampungan.

Mengulas lanjut, beliau berkata kampung-kampung itu sebahagian daripada 182 kampung yang dikenalpasti, selain inisiatif awal kempen yang dijalankan melalui media sosial.

“Kementerian akan meningkatkan pengawasan di luar Pitas dan setakat ini 120 sampel dari daerah lain sudah dikumpul dalam usaha mengesan wabak itu di seluruh negeri.

Beliau berkata sampel-sampel turut diperolehi dari rumah penyembelihan babi, pusat penjualan babi komersil, dan penjual babi hutan salai (sinalau bakas) di semua daerah.

Sekiranya ada daerah lain yang turut dikesan dilanda virus terbabit, daerah terlibat akan diisytiharkan sebagai kawasan wabak ASF selaras dengan Enakmen Haiwan 2015.

 “Menerusi enakmen ini, JPV mempunyai kuasa penuh untuk melaksanakan pendekatan pengurusan penyakit menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya juga akan berusaha melindungi kawasan ternakan babi utama untuk memastikan pengeluaran ternakan haiwan itu tidak terjejas.

 Pengendali daging babi komersil turut diingatkan supaya meningkatkan pengurusan keselamatan bios di ladang masing-masing dan melaporkan kes kematian kepada JPV.

“Orang ramai sekali lagi diingatkan bahawa tidak ada ubat atau vaksin untuk ASF, namun wabak ini bukan penyakit zoonotik iaitu tidak merebak kepada manusia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, JPV dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menyiasat penemuan bangkai babi hutan di sebuah resot di Kinabatangan.

Hasil ujian makmal berdasarkan kerja-kerja pengumpulan sampel dan siasatan punca kematian babi terbabit oleh pasukan berkenaan dijangka diketauhui pada minggu hadapan.

  • oleh
  • Advertisement