Anda di sini

Sektor pelancongan domestik dijangka pulih suku tahun kedua - Abdul Karim

Advertisement
 

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yakin sektor pelancongan domestik dijangka pulih pada suku kedua tahun ini.

Beliau memberitahu, anggaran jumlah kedatangan pelancong juga dijangka seramai 1.1 juta orang selepas penerimaan suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. 

"Saya juga menyatakan anggaran pendapatan daripada jumlah tersebut ialah RM2.64 bilion tetapi bergantung kepada keadaan semasa pandemik COVID-19," katanya menerusi hantaran Facebook rasminya hari ini. 

Jelas Menteri Belia dan Sukan itu, industri pelancongan merupakan penyumbang utama dalam pertumbuhan ekonomi negara. 

Untuk itu, kata Abdul Karim, kerajaan telah memperkenalkan Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) bagi membantu pengusaha pusat pelancongan.

"Usaha ini adalah inisiatif kerajaan di bawah kementerian saya untuk membantu pengusaha industri pelancongan semasa pandemik COVID-19. 

"Oleh itu, saya mengalakkan pengusaha merebut peluang keemasan untuk melakukan pelaburan bagi membantu perniagaan mereka melalui PTF," tegasnya. 

Dalam pada itu, beliau menjelaskan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak telah banyak membantu pengusaha pelancongan tempatan sepanjang wabak COVID-19 melanda dengan memberikan bantuan dan dana.

Menurutnya, bagi mereka yang menyatakan tidak ada banyak usaha atau bantuan lain kepada pengusaha pusat pelancongan sepanjang 12 bulan yang lepas adalah tidak wajar.

"Tuduhan sedemikian adalah tidak adil apabila tiada usaha kerajaan dalam membantu industri tersebut. 

"Ini kerana industri pelancongan turut memberi sumber pendapatan kepada negara secara langsung dan tidak langsung," ujarnya. 

Malah, beliau memberitahu, kerajaan negeri juga telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk membantu rakyat melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) tahun lepas termasuk mereka yang berada dalam industri pelancongan.

"Syukur alhamdulillah bantuan serta sokongan yang diberi turut meningkat pada bulan Ogos tahun lepas yang merangkumi semua orang yang bekerja di sektor ekonomi," jelasnya. 

Advertisement