Anda di sini

SDEA Cawangan Sibu beri insentif kepada pelajar asrama duduki SPM

Advertisement
 Para pengetua dan wakil sekolah yang menerima insentif merakamkan kenangan bersama Ahli (duduk, dua kanan), Aphong (duduk, kiri) serta yang lain.
UNTUK ALBUM: Para pengetua dan wakil sekolah yang menerima insentif merakamkan kenangan bersama Ahli (duduk, dua kanan), Aphong (duduk, kiri) serta yang lain.

SIBU: Persatuan Pendidik Dayak Sarawak (SDEA) Cawangan Sibu telah menjalankan amanahnya dengan memberikan insentif kepada pelajar asrama yang menduduki SPM 2020 pada 23 Februari lalu di Bilik Mesyuarat Pejabat Pendidikan Daerah Sibu, Tingkat 6, Wisma Persekutuan Sibu di sini.

Menurut kenyataan media SDEA Cawangan Sibu semalam, majlis tersebut disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Ahli Chikba.

Dalam ucapannya, Ahli berkata, usaha murni SDEA ini amat bermakna buat pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan untuk membeli barang keperluan seperti alat tulis bagi menduduki peperiksaan SPM 2020 ini.

Beliau turut berasa bangga dengan keprihatinan SDEA Cawangan Sibu terhadap kebajikan pelajar asrama di daerah ini.

Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi SDEA Cawangan Sibu merangkap Timbalan Presiden SDEA Negeri yang diketuai oleh Aphong Entri dan ahli-ahlinya termasuk Setiausaha SDEA Negeri Lolita Jimmy Jalil, Bendahari SDEA Negeri Harvard Nupe, Penolong Bendahari SDEA Negeri David Fabian dan Bendahari SDEA Cawangan Sibu Sumbang Unjong.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Jawatankuasa SDEA Cawangan Sibu Puten Gaong dan Joanes Tulang.

Sekolah-sekolah yang menerima insentif tersebut ialah SMK Bawang Assan (18 pelajar), SMK Durin (38), SMK Jalan Oya (12), SMK Luar Bandar Sibu No.1 (69) dan SMK Rosli Dhoby (6).

Dalam perkembangan berkaitan, Aphong berkata persatuan itu mengadakan pelbagai aktiviti setaip tahun untuk meningkatkan tahap pendidikan pelajar Dayak di Sibu.

Buat masa ini jelasnya, banyak aktiviti yang dirancang tidak dapat dijalankan disebabkan pandemik COVID-19.

“SDEA Cawangan Sibu amat berbesar hati kepada pihak PPD Sibu khasnya Ahli kerana sentiasa menyokong usaha murni persatuan ini meningkatkan kualiti pendidik dan pendidikan masyarakat Dayak di Sibu,” tambahnya.

Advertisement