Anda di sini

Perintah Berkurung diteruskan, masih wujud ancaman penculikan

Advertisement
HAZANI
HAZANI

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali mengisytiharkan Perintah Berkurung (PB) di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) diteruskan kepada siri ke-157 berikutan ancaman penculikan yang dikesan masih wujud.

Penguatkuasaan PB yang diperkenalkan semenjak 2013 terbabit akan disambung selama 14 hari lagi sehingga 16 Mac 2021 selaras peruntukan Seksyen 31 (4) Akta Polis 1967.

“Lanjutan tempoh penguatkuasaan PB baharu itu akan dilaksanakan Menteri Dalam Negeri bermula 2 Mac ini,” katanya, menerusi kenyataan medianya di sini.

Hazani berkata kawasan penguatkuasaannya masih dikekalkan melibatkan tujuh daerah seperti Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Beliau turut mengingatkan anggota masyarakat terlibat supaya tidak memasuki atau berada di kawasan (perairan) berkuatkuasanya PB dari jam 6 petang hingga 6 pagi.

“Kita mahu memastikan kawasan perairan tidak dicerobohi pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa dan pelancong yang melawat pusat peranginan.

“Berdasarkan maklumat diterima, kumpulan penculikan untuk tebusan (KFR) dan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dari Selatan Filipina masih mengintai peluang.

“Kumpulan-kumpulan pengganas berkenaan masih cuba menceroboh perairan negara kita untuk melakukan kegiatan penculikan dan jenayah rentas sempadan yang lain,” katanya.

Menurutnya, kesinambungan PB penting untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah di sekitar wilayah ESSZONE samaada di kawasan perairan atau daratan.

Mengulas lanjut, langkah meneruskan penguatkuasaan itu juga dapat memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan pergerakan bot serta keyakinan komuniti ESSZONE.
“Termasuklah pengusaha chalet dan aktiviti perikanan, kesan daripada kehadiran pasukan keselamatan yang bertugas memantau di sekitar kawasan perairan terlibat,” katanya.

Pada masa sama, semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE diberi kuasa mengeluarkan permit kepada pemohon yang hendak menjalankan aktiviti perikanan atau melalui kawasan terlibat semasa PB berkuatkuasa, jika memenuhi syarat ditetapkan.

  • oleh
  • Advertisement