Anda di sini

Peletakan jawatan Larry tidak gugat PKR Sarawak - Ng

Advertisement
Ng (dua kiri) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa hari ini. Turut kelihatan Cherishe (tiga kiri).
Ng (dua kiri) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa hari ini. Turut kelihatan Cherishe (tiga kiri).

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak tidak tergugat dengan peletakan jawatan Larry Sng sebagai pengerusi PKR negeri. 

Ketua PKR Cabang Bandar Kuching Dominique Ng berkata secara peribadi beliau kecewa dengan tindakan Ahli Parlimen Julau itu. 

“Peletakan jawatan Larry telah disahkan parti. Sebab peletakan, saya rasa perlu tanya sendiri dengan Larry. 

“Tetapi secara peribadi tindakan Larry ini adalah mengecewakan saya dan juga parti secara keseluruhannya,” katanya ketika ditemui di Kampung Sinar Budi Baru, Batu Kawa di sini hari ini. 

Terdahulu, Ng hadir menyampaikan bantuan berupa tilam, bantal dan makanan keperluan asas kepada mangsa banjir di kampung tersebut. 

Ng dalam pada itu yakin PKR Sarawak tidak akan tergugat dengan peletakan jawatan oleh Larry dan mampu mengatasi situasi ini. 

“Seperti kata Setiausaha PKR Negeri (Joshua Jabeng), pemimpin datang dan pergi. Tetapi perjuangan kita masih komited kepada rakyat,” katanya. 

Mengenai agihan bantuan tersebut, ia katanya disampaikan kepada semua penduduk yang terjejas di kampung itu tanpa kira agama, bangsa mahupun fahaman politik. 

Meskipun PKR katanya tidak bertanding di Batu Kawa namun bantuan tetap diberikan kepada penduduk yang memerlukan. 

“Kampung Sinar Budi Baru ini telah tiga kali dilanda banjir kilat. Kita berterima kasih kepada penderma yang membantu dalam agihan bantuan ini,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Cabang Bandar Kuching, Cherishe Ng berkata seramai 150 isi rumah dari kampung tersebut menerima bantuan ini. 

Setakat ini katanya lebih daripada 3,000 keluarga di seluruh Sarawak dibantu PKR Sarawak sekali gus menolak dakwaan PKR tidak melakukan apa-apa bagi membantu rakyat. 
 

  • oleh
  • Advertisement