Anda di sini

Larry letak jawatan pengerusi PKR Sarawak, kata setiausaha

Advertisement
 

KUCHING: Ahli Parlimen Julau Larry Sng (gambar) meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak. 

Perkara ini disahkan Setiausaha PKR Sarawak Joshua Jabeng ketika dihubungi hari ini. 

Katanya, keputusan untuk meletakkan jawatan itu dimaklumkan Larry pada mesyuarat majlis kepimpinan negeri yang diadakan secara persidangan video, Jumaat lepas. 

“Ia adalah sah. Beliau (Larry) bebas untuk membuat langkah seterusnya,” katanya menambah ia adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi untuk pemimpin datang dan pergi,” katanya. 

Ditanya sebab peletakan jawatan oleh Larry, Joshua percaya ia berikutan persepsi kepimpinannya telah memberi kesan negatif kepada PKR Sarawak. 

Larry sebelum ini pernah mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi PKR negeri bagi memberi laluan kepada pemimpin Dayak memimpin parti. 

Hasrat tersebut bagaimanapun dipertimbangkan semula oleh beliau (Larry) selepas perbincangan dengan pemimpin PKR negeri. 

Dalam pada itu, Joshua menerusi kenyataan semalam meminta semua ahli parti kekal bertenang dengan apa yang berlaku dalam kepimpinan PKR negeri. 

“Fokus kita sekarang adalah membantu rakyat yang bergelut dengan pandemik COVID-19. 

“Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mendengar dan memihak cadangan kepimpinan kolektif kita untuk memimpin majlis pimpinan negeri (MPN) pada Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum kelak,” katanya. 

Joshua turut berterima kasih kepada semua pemimpin MPN negeri, ahli dan penyokong atas kesetiaan dan komitmen mereka kepada parti. 

Advertisement