Anda di sini

Ketibaan vaksin Sinovac rancakkan program imunisasi negara

Advertisement
 Nur Waie Hidayah (dua kanan) seorang daripada lima juruterbang dan satu-satunya juruterbang wanita yang dipertanggungjawabkan menerbangkan vaksin jenis Sinovac untuk rakyat Malaysia itu tiba di negara ini dengan selamat. Nur Waie Hidayah bersama empat juruterbang lain iaitu Datuk Kapten Tengku Ahmad Farizanudean Al-Haj, Chin Vun Ben, Kapten Mohamed Razif Abdul Aziz dan Kapten Khairul Syukri Khali diberi peranan mengendalikan pesawat Airbus 330-300 untuk penerbangan dari Beijing, China ke Lapangan T
SELAMAT: Nur Waie Hidayah (dua kanan) seorang daripada lima juruterbang dan satu-satunya juruterbang wanita yang dipertanggungjawabkan menerbangkan vaksin jenis Sinovac untuk rakyat Malaysia itu tiba di negara ini dengan selamat. Nur Waie Hidayah bersama empat juruterbang lain iaitu Datuk Kapten Tengku Ahmad Farizanudean Al-Haj, Chin Vun Ben, Kapten Mohamed Razif Abdul Aziz dan Kapten Khairul Syukri Khali diberi peranan mengendalikan pesawat Airbus 330-300 untuk penerbangan dari Beijing, China ke Lapangan T

KUALA LUMPUR: Selepas enam hari Malaysia menerima vaksin pertama COVID-19 jenis Pfizer-Bio-NTech, semalam vaksin Sinovac selamat tiba di negara ini, sekali gus merancakkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Bekalan tambahan yang diterbangkan dari Beijing, China menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH319  itu, selamat mendarat pada jam 9 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Pesawat Airbus 330-300 dengan hiasan Jalur Gemilang membawa envirotainer me-ngandungi vaksin COVID-19 dalam bentuk cecair sebanyak 200 liter dan boleh diproses menjadi lebih 300,000 dos untuk keperluan Malaysia.

Vaksin COVID-19 yang dibangunkan firma farmaseutikal China, Sinovac itu diterbangkan menggunakan pesawat Passenger-to-Cargo (PC2) iaitu pesawat penumpang digunakan untuk perkhidmatan kargo.

Turut menarik perhatian dalam penerbangan itu adalah penglibatan juruterbang wanita, Nur Waie Hidayah Mohamad Rasidin yang dipertanggungjawabkan menerbangkan pesawat tersebut bersama empat juruterbang lelaki.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang juga Menteri Sains, Tek-nologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Pe-ngangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing berada di KLIA semasa ketibaan vaksin dan sehingga dibawa ke trak penghantaran.

Selesai pemeriksaan pasukan pengendalian vaksin MASkargo, envirotainer iaitu bekas khas yang mengandungi vaksin jenis Sinovac dipindahkan dari bahagian kargo pesawat ke dalam trak milik Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd dengan diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ke lokasi penyimpanan vaksin yang ditetapkan.

Setiap pergerakan vaksin dikawal rapi oleh pasukan polis.

Vaksin keluaran syarikat farmaseutikal dari China itu, berkemampuan mengekalkan suhu kandungan antara 2 ke 8 darjah Celsius.

Menurut Khairy, vaksin Sinovac diterima Malaysia semalam perlu terlebih dahulu melalui proses pengilangan oleh syarikat farmaseutikal, Pharmaniaga untuk dinilai dan diberikan kelulusan oleh badan pengawalseliaan.

Katanya, proses pengilangan tersebut merupakan antara kriteria yang akan dinilai Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum memberikan syor kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kelulusan.

Beliau juga menjelaskan bahawa vaksin berkenaan diterima terlebih dahulu oleh Malaysia walaupun belum diluluskan badan pengawalseliaan negara kerana mendapati bekalan vaksin COVID-19 dunia ketika ini terhad.

Khairy turut memberi contoh, Singapura yang juga menerima vaksin tersebut dalam bentuk keluaran siap walaupun belum mendapat kelulusan daripada badan pengawalseliaan mereka.

Antara negara AsiaTenggara lain yang turut menerima vaksin Sinovac ialah Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Presiden Indonesia Joko Widodo menjadi pemimpin Asia Tenggara pertama menerima suntikan vaksin jenis Sinovac.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang berkata, kelulusan vaksin COVID-19 yang memasuki pasaran di Malaysia tidak mengikut jalan pintas, sebaliknya dikenakan syarat ketat bagi memastikan ia selamat, berkesan dan berkualiti.

Amrahi berkata, vaksin COVID-19 yang sudah didaftarkan di negara lain perlu melalui kelulusan NPRA dan mesti memenuhi syarat sedia ada bagi memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia yang menggunakan vaksin itu.

Beliau berkata, proses itu dilakukan sama seperti dilaksanakan terhadap vaksin terdahulu yang pernah memasuki pasaran Malaysia.

Mengenai pendaftaran pengambilan vaksin COVID-19 di MySejahtera, Khairy berkata setakat 7 pagi semalam, seramai 1.183 juta individu telah mendaftar di dalam aplikasi tersebut.

Beliau berkata, seramai 3,580 individu telah menerima suntikan vaksin Pfizer sejak bermulanya Program Imunisasi itu pada 24 Februari lepas.

Rabu lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Putrajaya, Presint 11.

Proses vaksinasi di seluruh negara diteruskan menerusi 605 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menerima agihan vaksin daripada 54 Pusat Simpanan Vaksin (PSV).

Program vaksinasi terbesar negara menetapkan sasaran 80 peratus daripada rakyat Malaysia divaksin bagi mencapai imuniti kelompok yang dikehendaki.

Fasa pertama pemberian vaksin itu yang berlangsung hingga April ini melibatkan anggota barisan hadapan, manakala fasa kedua dari April hingga Ogos dikhususkan untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan de-ngan masalah morbiditi, di samping Orang Kurang Upaya, sementara fasa ketiga bermula Mei hingga Februari 2022 - untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas.

Malaysia telah mengadakan perjanjian untuk memperoleh sebanyak 66.7 juta dos vaksin COVID-19 iaitu melalui fasiliti COVAX dan lima pengeluar vaksin iaitu Pfizer BioNTech, Astra Zeneca, Sinovac, CanSino dan Gamaleya. — Bernama

Advertisement