Anda di sini

Inisiatif bekalkan elektrik di Baram Hilir

Advertisement
 Kakitangan SEB bergambar bersama ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Mekal semasa kerja-kerja penyambungan bekalan elektrik di rumah panjang tersebut, baru-baru ini.
SEJARAH: Kakitangan SEB bergambar bersama ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Mekal semasa kerja-kerja penyambungan bekalan elektrik di rumah panjang tersebut, baru-baru ini.

MIRI: Rumah Mekal Mundam mencatat sejarah menjadi rumah panjang pertama disambung dengan bekalan elektrik  oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) di Baram Hilir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datu Dr Penguang Manggil berkata, Rumah Mekal yang terletak berhampiran Kuala Baram merupakan salah satu daripada sembilan rumah panjang di Baram Hilir yang pertama kali disambung bekalan elektrik.

Beliau berkata, pemasangan tiang dan kabel oleh kontraktor SEB di bawah projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) fasa dua sudah siap dan memanfaatkan sebanyak 14 pintu penduduk di situ.

“Bagi rumah-rumah panjang yang lain di sini, kerja-kerja ‘survey dan setting out’ sudahpun dilaksanakan.

“Namun sekarang kerajaan sedang menyelesaikan isu ‘wayleave’ dengan pihak ladang, yang mana saya dimaklumkan hampir selesai,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Projek pengelektrikan akan diteruskan di Rumah Budin (Asam Paya), Rumah Nawan (Ujong Daun), Rumah Asam, Rumah Frederick Belaja, Rumah George, Rumah Ngelingkong, Rumah Chabob dan Rumah Ubie di Sungai Baram.

Katanya, SEB juga memasang tiang elektrik dan kabel ke kawasan Ulu Tinjar, Hilir Tinjar, Sungai Peking, Sebatu dan Sebubu.

Penguang yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan menambah, fasa kedua projek tersebut tertumpu di kawasan Baram Hilir, manakala fasa pertama di kawasan Tinjar.

Katanya, kerajaan juga sedang melaksanakan projek Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) khas untuk 54 keluarga di Kampung Benawa, termasuk keluarga Mohammad Mansor.

Tegasnya, sudah menjadi impian beliau untuk melihat semua penduduk rumah panjang di kawasan Marudi mempunyai bekalan elektrik dan air menjelang 2025.

“Sebagai wakil rakyat, saya sangat gembira kerana berjaya melaksanakan projek ini. Penat lelah lebih empat tahun sebagai wakil rakyat membuahkan hasil dan bagi saya ia satu penghomatan kerana dapat membantu.

“Mulai sekarang, rakyat di Marudi akan menikmati banyak pembangunan berikutan banyak projek sudah diluluskan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini sedang dilaksana dan bakal dilaksanakan,” kata Penguang.

Projek ini termasuk pembinaan Jalan Simpang Lapok-Long Tisam, Kompleks Sukan Lapok, Jalan Miri-Marudi, Dewan Masyarakat Lapok, pejabat pentadbiran baharu di Beluru dan Lapok, projek jalan ke Hilir Tinjar dan Baram Hilir, Ulu Teru dan banyak lagi.

“Bagi kawasan Beluru pula, pembinaan substesen baharu di Lapok dan talian grid elektrik baharu sedang dilaksanakan untuk menambah baik bekalan elektrik yang sering terganggu sebelum ini,” katanya sambil menambah, ketika ini Beluru mendapatkan bekalan elektrik dari substesen Marudi.

Beliau menegaskan, projek berkenaan bukan untuk memancing undi kerana sudah lama diluluskan.

  • oleh
  • Advertisement