Anda di sini

COVID-19: Dua kematian, 171 kes baharu di Sarawak 

Advertisement
 

KUCHING: Kes kematian melibatkan jangkitan COVID-19 di Sarawak kini meningkat kepada 83 kes dengan tambahan dua kes kematian baharu dilaporkan hari ini. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kes kematian ke-82 melibatkan seorang wanita berumur 78 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Bintulu kerana mengalami masalah kesukaran bernafas. 

Menurutnya, ujian rt-PCR sudah dibuat dan kes didapati positif COVID-19 pada 16 Februari 2021. 

“Keadaan kesihatan kes didapati semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 27 Februari 2021. Kes mempunyai ko- morbid penyakit darah tinggi, kencing manis dan kegagalan fungsi buah pinggang,” kata Jawatankuasa itu dalam kenyataan hari ini.

Kes kematian ke-83 pula, kata JPBNS, melibatkan seorang lelaki berumur 80 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sibu dari sebuah pusat jagaan hasil saringan ujian rt-PCR secara aktif yang dibuat dan dikesan positif pada 29 Januari 2021. 

Ujarnya, keadaan kesihatan kes didapati semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 27 Februari 2021. 

“Kes mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi, kencing manis dan kanser prostat. Dimaklumkan kes ini adalah daripada Kluster Pasai.

“Sehubungan itu, JPBNS merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” katanya.

Mengenai jumlah kes baharu COVID di Sarawak hari ini, JPBNS berkata, sebanyak 171 kes direkodkan yang mana Sibu mencatatkan kes tertinggi iaitu 33 kes.

“Manakala di Miri merekodkan 31 kes, Bintulu (29), Betong (20), Kapit (20), Kuching (15), Serian (9), Kanowit (4), Beluru (2), Sri Aman (2), Asajaya (1), Bau (1), Bukit Mabong (1), Julau (1), Samarahan (1) dan Sebauh (1). Ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 9,545 kes,” katanya.

Selain itu, Jawatankuasa itu berkata, terdapat 203 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini dari Hospital Sibu (115), Hospital Umum Sarawak (37), Hospital Bintulu (20), PKRC di bawah Hospital Kapit (17), Hospital Miri (10) dan Hospital Sarikei (4). 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 7,064 orang atau 74.01 peratus dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak.

Jumlah kes aktif yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di PKRC dan wad hospital mengikut hospital rujukan adalah seramai 2,364 

JPBNS turut memaklumkan hari ini sebanyak 200 individu disyaki (PUI) baru dilaporkan dan tiga (3) PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

Manakala seramai 530 individu di bawah pengawasan (PUS) mendaftar masuk di hotel bagi menjalani kuarantin. 

  • oleh
  • Advertisement