Anda di sini

Bung sumbang 500 beg sekolah kepada dua sekolah menengah

Advertisement
 Abu Bakar yang mewakili Dato’ Sri Bung Moktar Radin menyampaikan beg sekolah kepada pihak sekolah.
UNTUK PELAJAR: Abu Bakar yang mewakili Dato’ Sri Bung Moktar Radin menyampaikan beg sekolah kepada pihak sekolah.

KINABATANGAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lamag yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah I Dato’ Sri Bung Moktar Radin telah menyumbangkan 500 buah beg sekolah kepada dua buah sekolah menengah di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Lamag.

Majlis penyerahan beg sekolah itu telah disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag Abu Bakar Gapar kepada pihak sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Garam dan SMK Bukit Garam 2.

Abu Bakar berkata sumbangan beg sekolah ini adalah untuk meringankan sedikit beban yang ditanggung ibubapa dalam menyediakan peralatan persekolahan kepada anak-anak mereka yang akan memulakan persekolahan dalam bulan Mac depan.

“Ini adalah hasil inisiatif dan usaha Menteri Kerja Raya Sabah Dato’ Bung Moktar selaku wakil rakyat di kawasan ini,” katanya selepas menyampaikan 500 beg sekolah di dua buah sekolah itu, kelmarin.

Beliau berkata telah menjadi rutin setiap tahun buat Ahli Parlimen Kinabatangan Dato’ Sri Bung Moktar menyumbangkan beg sekolah serta peralatan lain untuk para pelajar di kawasan Kinabatangan.

“Keprihatinan Dato’ Sri Bung Moktar Radin ini adalah salah satu hasrat serta usahanya dalam membantu pelajar di Kinabatangan dan dia (Bung) mahu para pelajar ini berjaya dalam akademik sekaligus memperolehi kecemerlangan dalam pelajaran,” katanya.  

Dalam pada itu, Abu Bakar mengingatkan para pelajar agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sama ada berada di kawasan sekolah dan luar persekolahan dalam usaha membendung penularan pandemik  COVID-19.

“Kita tahu pihak sekolah akan mengambil langkah yang terbaik dalam memastikan SOP ketat di dalam sekolah,” katanya.

Beliau juga mahu ibubapa memainkan peranan untuk sama-sama mengingatkan anak-anak mereka agar sentiasa mengutamakan kebersihan diri, menggunakan pelitup muka dan kerap mencuci tangan sebagai langkah menggelak penularan COVID-19.

Turut hadir semasa penyampaian beg sekolah itu, Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Dun Lamag Rohaizan Ismail serta para pemimpin masyarakat setempat.

  • oleh
  • Advertisement