Anda di sini

Aktiviti hiburan, majlis sosial antara tidak dibenarkan dalam lanjutan PKPB

Advertisement
 

KUCHING: Aktiviti hiburan seperti di kelab malam atau pub, taman tema dan karaoke antara yang tidak dibenarkan sepanjang tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak berkuat kuasa 2 hingga 15 Mac 2021. 

Larangan aktiviti ini adalah antara prosedur standard operasi (SOP) yang dikemas kini dan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pada 26 Februari lalu.

Menurut JPBNS, antara aktiviti hiburan lain yang turut tidak dibenarkan taman permainan tertutup dan panggung wayang. 

“Untuk aktiviti sukan dan rekreasi pula, penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan dan antarabangsa tanpa kelulusan Kementerian Belia dan Sukan dengan kehadiran penonton dan penyokong juga tidak dibenarkan sepanjang PKPB,” katanya hari ini.

Selain itu, kata JPBNS, penyertaan peserta dan pegawai dari luar negara ke kejohanan atau pertandingan sukan di Malaysia tanpa kebenaran masuk dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan melebihi 200 orang pada satu-satu masa," tambah jawatankuasa itu.

Bagi aktiviti pelancongan yang tidak dibenarkan pula, katanya adalah melibatkan pelancongan ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Aktiviti pelancongan ke luar negeri oleh warganegara dan aktiviti pelancongan dalam negeri yang melibatkan pelancong asing memasuki Malaysia kecuali pelancong asing daripada negara sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri,” katanya.

Tambahnya, majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, resepsi, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan hari kelahiran, reunion, retreat dan lain-lain majlis sosial turut tidak dibenarkan.

Lain-lain perkara tidak dibenarkan, pengoperasian rumah urut, spa dan refleksologi.

“Apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan. Lain-lain aktiviti (tidak dibenarkan) yang ditetapkan oleh JPBN dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, JPBNS memaklumkan, aktiviti perniagaan, ekonomi atau industri dibenarkan beroperasi seperti ditetapkan oleh kerajaan.

“Pasar raya, pusat beli belah dan kedai runcit turut dibenarkan beroperasi mengikut SOP ditetapkan antara pukul 6 pagi hingga 10 malam begitu juga restoran, kedai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja gerai makan tepi jalan dan kiosk namun perlu mematuhi SOP Sektor Makanan,” katanya.

Bagaimanapun tegasnya, operasi pasar tani, pasar malam dan bazar larut malam dan seumpamanya di zon merah COVID-19 tidak dibenarkan beroperasi.

"Semua aktiviti keagamaan di rumah ibadat juga tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB bermula 2 hingga 15 Mac ini. Masjid dan surau dibenarkan mengumandangkan azan serta mendirikan solat lima waktu serta Solat Jumaat dengan bilangan jemaah ditentukan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.

"Pengurusan dan petugas di semua rumah ibadat bukan Islam tertakluk kepada SOP dikeluarkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) begitu juga sambutan perayaan bukan Islam," jelasnya.

PKPB dilaksanakan di 19 zon di Sarawak melibatkan Zon Kuching (Bahagian Kuching, Bahagian Samarahan dan Bahagian Serian); Zon Sri Aman (Bahagian Sri Aman); Zon Sarikei (Bahagian Sarikei dan Bahagian Betong); Zon Mukah (Bahagian Mukah); Zon Bintulu (BahagianBintulu), Zon Miri (Daerah Miri); Zon Beluru, (Daerah Beluru); Zon Subis (Daerah Subis); Zon Bekenu (Daerah Bekenu); Zon Telang Usan (Daerah Telang Usan); Zon Marudi (Daerah Marudi).

PKPB turut dilaksanakan di Zon Limbang (Bahagian Limbang); Zon Sibu (Daerah Sibu); Zon Kanowit (Daerah Kanowit); Zon Selangau (Daerah Selangau),; Zon Kapit (Daerah Kapit); Zon Song (Daerah Song); Zon Belaga (Daerah Belaga) dan Zon Bukit Mabong (Daerah Bukit Mabong).

  • oleh
  • Advertisement