Anda di sini

200 petugas barisan hadapan terima suntikan vaksin di KK Lanang semalam

Advertisement
 (Dari kiri) Chua, Moh dan Hii merakam gambar kenangan selepas masing-masing menerima suntikan vaksin COVID-19, semalam.
GIRANG: (Dari kiri) Chua, Moh dan Hii merakam gambar kenangan selepas masing-masing menerima suntikan vaksin COVID-19, semalam.

SIBU: Kira-kira 200 petugas barisan hadapan menerima suntikan vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Lanang semalam dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

Pegawai Kesihatan Keluarga Bahagian Sibu Dr Debbura Peak Ngaban, yang ditugaskan untuk menyelaras program vaksinasi berkata, pada sebelah pagi sekitar 80 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) menerima vaksinasi mereka, sementara 162 dari agensi kerajaan lain diberi vaksin pada sebelah petang.

“Kami berjaya menyuntik vaksin kepada 36 orang dalam satu jam, dan esok kami merancang untuk meningkatkan (jumlah itu) menjadi 48 (orang dalam satu jam),” katanya kepada pemberita di Klinik Kesihatan Lanang di sini, semalam.

Dr Debbura berkata lagi, kelmarin 102 orang menerima vaksin di Klinik Kesihatan Lanang.

Beliau mendedahkan 1,074 dos telah diterima oleh Klinik Kesihatan Lanang semalam.

Beliau menambah penghantaran pertama vaksin perlu diselesaikan pada hari Jumaat depan, dan menambah penghantaran berikutnya dijangka 2 April.

Beliau menjelaskan selesainya penghantaran pertama bukannya bermaksud fasa pertama telah selesai.

Mengenai mereka yang akan diberi vaksin, beliau berkata ia akan melibatkan gabungan antara kakitangan KKM dan bukan KKM.

Sementara itu, Presiden Institut Wartawan Rejang (IRJ) Monica Chua, Pengerusi Persatuan Wartawan Sibu Hii Hong Wee dan Setiausaha Jane Moh adalah antara wakil media di Sibu yang menerima vaksin di klinik tersebut, semalam.

Advertisement