Anda di sini

The Gunners tewaskan Benfica, teruskan kemaraan Liga Europa

Advertisement
 Diogo Goncalves (tidak kelihatan) menjaringkan gol penalti pada perlawanan Liga Europa di antara Arsenal dan Benfica di Stadium Karaiskaki di Athens, kelmarin. — Gambar AFP
LEDAK: Diogo Goncalves (tidak kelihatan) menjaringkan gol penalti pada perlawanan Liga Europa di antara Arsenal dan Benfica di Stadium Karaiskaki di Athens, kelmarin. — Gambar AFP

PARIS: Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan dua gol termasuk gol kemenangan lewat ketika Arsenal  meneruskan kemaraan ke pusingan 16 akhir Liga Europa pada Khamis dengan kemenangan 3-2 ke atas Benfica di Greece sementara Manchester United dan Rangers turut meneruskan kemaraan.

Aubameyang meletakkan Arsenal di hadapan pada perlawanan di Stadium Karaiskakis di Piraues untuk perlawanan di tempat sendiri yang dipindahkan di Greece kerana sekatan pergerakan di antara Portugal dan Britain.

Diogo Goncalves mengikat kedudukan dengan satu tendangan percuma cantik dan Rafa Silva meletakkan Benfica 2-1 di hadapan apabila beliau mengambil peluang dari kesilapan Dani Ceballos pada  minit ke-61.

Kieran Tierney mengikat kedudukan buat Arsenal sebelum Aubameyang menjaringkan gol kemenangan dari  umpanan Bukayo Saka pada minit ke-87, membolehkan Arsenal menang 4-2 secara agregat dan mengelak mereka dari tersingkir dengan peraturan gol di tempat lawan selepas seri 1-1 pada perlawanan pertama.

“Semua orang gembira malam ini(kelmarin). Ia memberikan saya tenaga setiap hari, mengambil kesilapan sebelum ini dan mengubahnya menjadi kekuatan,” kata Aubameyang.

“Pasukan menunjukkan banyak karektor dan kami selayaknya menang. Ia adalah perlawanan yang sukar. Apa yang kami tunjukkan malam ini akan menjadi satu contoh di masa hadapan.”

United mengesahkan tempat ke undian pusingan 16 akhir selepas seri tanpa jaringan dengan Real Sociedad di tempat sendiri dan dengan saingan kelihatan sudah berakhir minggu lepas apabila United menang 4-0 pada perlawanan pertama yang berlangsung di Itali kerana sekatan pergerakan yang sama.

Kegagalan Mikel Oyarzabal menyempurnakan penalti mewakili peluang terbaik buat Sociedad di Old Trafford sementara cubaan pemain tengah United, Bruno Fernandes terkena palang dan gol tandukan Axel Tuanzebe tidak dibenarkan pengadil kerana kekasaran.

Leicester City, yang berada di tangga kedua Liga Perdana Inggeris, tersingkir dari kejohananan apabila tewas 0-2 kepada Slavia Prague dari Republik Czech di tempat sendiri.

Lukas Provod meletakkan Slavia di hadapan selepas rehat sebelum Abdallah Sima melengkapkan jaringan untuk menamatkan cabaran Leicester dengan agregat 2-0 selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama.

“Kami tidak mencipta cukup peluang dalam dua perlawanan. Kami tidak bertahan dengan baik dan menghadiahkan dua gol kepada mereka. Pasukan yang lebih baik menang,” kata jurulatih Leicester, Brendan Rodgers.

Rangers meneruskan kemaraan dengan kemenangan 5-2 ke atas kelab dari Belgium, Antwerp di Ibrox, dengan lima pemain berbeza menjaringkan gol untuk pendahulu Liga Perdana Scotland itu.

Selepas kemenangan 4-3 pada perlawanan pertama minggu lepas, gol dari Alfredo Morelos, Nathan Patterson dan Ryan Kent meletakkan Rangers selesa di hadapan sebelum penalti Borna Barisic dan Cedric Itten melengkapkan kemenangan agregat 9- 5.

“Saya sangat berpuas hati, prestasi pemain cukup hebat dalam banyak bahagian,” kata pengurus Rangers, Steven Gerrard.

“Tiga gol pertama sememangnya berkelas dunia. Tetapi sebagai seorang yang pentingkan kesempurnaan, kami masih perlu melihat di bahagian yang silap malam ini.”

Pada perlawanan lain, AC Milan menewaskan Red Star Belgrade dengan peraturan gol di tempat lawan selepas seri 1-1 pada perlawanan di San Siro.

Penalti Franck Kessie pada awal permainan sudah memadai untuk Milan menempah tempat ke pusingan 16 akhir, walaupun El Fardou Ben Nabouhane mengikat kedudukan untuk keputusan agregat seri 3-3.

Pencapaian buruk Napoli berterusan apabila tewas 2-3 secara agregat kepada Granada walaupun menang 2-1 pada perlawanan kedua di Itali.

Ajax menyingkirkan pendahulu Ligue 1 Perancis, Lille, dengan kemenangan 2-1 di Amsterdam untuk kemenangan 4-2 secara agregat.

Olympiakos mengejutkan PSV Eindhoven 5-4 secara agregat sementara AS Roma dan Young Boys masing-masing mengenepikan cabaran Braga dan Bayer Leverkusen.

Bekas juara, Shakhtar Donetsk, menang agregat 3-0 ke atas Maccabi Tel-Aviv dan Molde dari Norway  menyingkirkan Hoffenheim dari Jerman dengan agregat 5-3 selepas kemenangan 2-0 di Jerman.

Dinamo Zagreb dan Dynamo Kiev melengkapkan senarai pasukan di pusingan 16 akhir kejohanan selepas Tottenham mengesahkan tempat pada perlawanan hari Rabu. — AFP

Advertisement