Anda di sini

Tak terburu-buru adakan pilihan raya negeri

Advertisement
Abang Johari hadir merasmikan Program Imunisasi COVID-19 Negeri Sarawak di Stadium Perpaduan Petra Jaya hari ini. - Gambar oleh Roystein Emmor
Abang Johari hadir merasmikan Program Imunisasi COVID-19 Negeri Sarawak di Stadium Perpaduan Petra Jaya hari ini. - Gambar oleh Roystein Emmor

 KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan Sarawak tidak tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN).

Jelas beliau, buat masa sekarang kerajaan negeri hanya memfokuskan untuk menjaga kesihatan rakyat Sarawak terutama ketika COVID-19.

“Kita masih dalam keadaan darurat, pilihan raya negeri boleh (diadakan) kemudian. Namun untuk (menyelamatkan) nyawa, tidak boleh (ditangguhkan) bila-bila masa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abang Johari berkata demikian ketika menjawab pertanyaan sama ada PRN akan diadakan sebaik sahaja Program Imunisasi COVID-19 peringkat negeri ini berakhir pada Ogos akan datang.

Terdahulu, Abang Johari merasmikan program vaksinasi itu untuk petugas barisan hadapan di Stadium Perpaduan Petra Jaya.

Sementara itu, Abang Johari memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memberi penekanan untuk memastikan yang terbaik untuk kesihatan rakyat Sarawak dan mereka yang tinggal di negeri ini agar rantaian jangkitan COVID-19 dapat dihentikan.

 "Itulah sebabnya kita (kerajaan negeri) tidak memikirkan perkara lain, kita mengutamakan kesihatan rakyat terlebih dahulu," katanya.

Antara usaha yang telah dilakukan, katanya, ia termasuk kemudahan kuarantin dan penginapan hotel untuk membendung penularan COVID-19 

“Selain tempat penginapan, kita juga menyediakan makanan untuk mereka yang dikuarantin serta menyediakan  kebajikan lain bagi membantu mereka yang terkesan dengan wabak ini. Semua ini ditanggung oleh kerajaan negeri. 

"Bermakna apa yang kita lakukan ini adalah keutamaan kepada kesihatan rakyat.  Wang boleh dicari, tetapi nyawa rakyat tidak dapat diganti,” katanya.

Beliau dalam pada itu menzahirkan rasa syukur, ketika negara berdepan COVID-19, Petronas menemui gas di Wilayah Luconia Tengah yang terletak kira-kira 80 kilometer dari perairan Sarawak pada 10 Februari lalu.

 "Oleh itu, kami berunding dengan Petronas dan dengan dana hasil penemuan gas ini, negeri dapat membantu lebih banyak kepada rakyat,” katanya.

Advertisement