Anda di sini

Program imunisasi langkah tepat untuk lindungi rakyat

Advertisement
 (Dari kiri) TR Ado, TR Dora dan TR Vicky memegang risalah menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
SOKONG: (Dari kiri) TR Ado, TR Dora dan TR Vicky memegang risalah menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

TATAU: Ketua-ketua kaum dan ketua masyarakat (KMKK) di sini menyambut baik usaha kerajaan melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dalam usaha mengekang penularan wabak itu di negara ini.

GEROSEN
GEROSEN

Pemanca Gerosen Jubin berkata, langkah kerajaan itu amat tepat dalam memutuskan rantaian COVID-19 dan menjaga serta melindungi rakyat di negara ini daripada pandemik tersebut.

Begitupun, masyarakat tidak harus terpengaruh dengan elemen negatif antivaksin yang disebar pihak tidak bertanggungjawab dalam media sosial.

“Ini kerana vaksin Pfizer-BioNTech dikaji secara mendalam oleh pakar dan digunakan komuniti seluruh dunia,” katanya mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan semalam.

Penghulu Lim Tcia Hong pula berpendapat pemberian vaksin untuk masyarakat di negara dan negeri ini amat tepat untuk mengekang penularan COVID-19.

Beliau berkata, pemimpin tertinggi negara menjadi individu pertama mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 memberi contoh dan keyakinan kepada rakyat menerima suntikan itu.

LIM
LIM

Kapitan Lim Tcia Hua berkata, pemberian vaksin secara percuma dengan pendaftaran mudah dilakukan dalam aplikasi MySejahtera perlu disokong dan diterima baik oleh masyarakat.

“Buku daftar program vaksinasi COVID-19 boleh didapati melalui Pejabat Daerah Tatau atau melalui KMKK masing-masing bagi mendaftar menerima suntikan vaksin,” jelasnya.

Senada dengan ketua-ketua masyarakat terbabit Tuai Rumah (TR) Dora Lani, TR Ado Bilong dan TR Vicky Engkalom menyokong usaha pemberian vaksin kepada masyarakat di negara ini.

Menurut mereka, usaha bertepatan membendung pandemik COVID-19 supaya keadaan hidup masyarakat seluruhnya kembali normal.

Pemberian vaksin bukan sahaja melindungi diri sendiri, malah melindungi semua masyarakat daripada wabak yang senang menjangkiti sesiapa pun.

Dalam pada itu, Latihan Simulasi Program Vaksin COVID-19 diadakan di Dewan Sukan Tatau di sini kelmarin.

Latihan itu melibatkan petugas kesihatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Daerah Tatau, Pejabat Daerah Sebauh dan Pejabat Daerah Bintulu.

Turut terlibat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta KMKK Daerah Tatau.

  • oleh
  • Advertisement