Anda di sini

Persepsi negatif mengenai vaksin berjaya diubah

Advertisement
Dr Annuar menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Lanang Sibu.
Dr Annuar menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Lanang Sibu.

SIBU: Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Annuar Rapa'ee berkata siaran langsung Facebooknya berjaya membantu mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap program vaksinasi COVID-19.

Bersiaran setiap hari sejak 15 Februari lalu, beliau berkata ramai penonton pada awalnya mengemukakan soalan mempunyai persepsi negatif terhadap program vaksinasi COVID-19, serta takut untuk menerima vaksin berkenaan.

Namun, beliau berkata sejak beberapa hari kebelakangan ini soalan yang dikemukakan oleh penonton telah berubah.

"Saya nampak ada perubahan persepsi di mana saya melihat mereka mula bertanya yang lebih positif seperti adakah mereka (penonton) layak mendapat vaksin atau patutkah mereka menerima vaksin tersebut.

"Dulu mereka takut dan banyak yang bertanya mengenai kesan sampingan, ada bermacam-macam soalan persepsi negatif disebabkan propaganda," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Lanang Sibu, hari ini.

Dr Annuar yang juga Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu berkata demikian apabila ditanya mengenai penerimaan orang ramai mengenai program vaksinasi berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, ini sesuatu yang positif kerana telah ramai dari kalangan penontonnya mula menunjukkan minat untuk menerima vaksin COVID-19 berkenaan.

Mengenai program suntikan vaksin di Klinik Kesihatan Lanang Sibu katanya, fasa pertama adalah melibatkan petugas barisan hadapan dari Kementerian Kesihatan, PDRM, ATM dan sebagainya. 

Beliau berharap dengan suntikan vaksin ini mereka yang sudah lebih setahun berjuang melawan COVID-19 ini dapat menarik nafas lega kerana mereka tidak lagi perlu terlalu bimbang dijangkiti COVID-19 semasa bertugas. 

"Terima kasih frontliner kerana terus berusaha melindungi kita semua," katanya.

Antara yang diberi suntikan vaksin di Klinik Kesihatan Lanang Sibu, ialah Senator Robert Lau, Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Sempurai Petrus Ngelai, Residen Bahagian Sibu Charles Siaw, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit dan timbalannya Superintendan Collin Babat, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting, dan Pegawai Daerah Sibu Suhaili Mohamed.

  • oleh
  • Advertisement