Anda di sini

Penggiat industri minyak dan gas diminta henti sementara pengambilan pekerja dari zon merah

Advertisement
DATUK SERI TIONG KING SING
DATUK SERI TIONG KING SING

BINTULU: Semua penggiat industri di bahagian ini terutama sektor gas dan minyak dinasihat agar memberhentikan sementara waktu pengambilan pekerja dari zon merah bagi mengekang penularan virus COVID-19 pada masa sekarang.

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dalam kenyataanya hari ini berkata, beliau melahirkan kebimbangan terhadap jumlah positif COVID-19 yang melibatkan pekerja kontrak dalam kedua-dua sektor berkenaan yang datang dari zon merah.

Menurutnya, walaupun dikesan berlakunya penggiat industri atau ejen yang menyarankan kakitangan kontrak mereka supaya menyembunyikan maklumat itu, pihaknya masih mempunyai bukti kukuh akan kesalahan yang dilakukan oleh pihak berkaitan.

Sebelum ini menurut Tiong, beliau sendiri beberapa kali meminta syarikat terbabit bagi memenuhi tanggungjawab sosial mereka supaya bersama memerangi wabak COVID-19 termasuk memberikan maklumat yang betul dan jujur kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pihak berkaitan tidak seharusnya mengeliru serta menyembunyikan status pekerja masing-masing kerana perbuatan itu dianggap sebagai tidak bertanggungjawab sekali gus menyukarkan usaha pembendungan virus berbahaya ini," ujarnya.

Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China itu turut menekankan bahawa syarikat yang tidak mahu memberikan kerjasama tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang sekiranya masih berdegil.

"Justeru, saya meminta para operator di setiap syarikat agar mengawasi serta pemantauan ketat dari masa ke masa agar setiap pekerja mereka mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan," tegasnya.

Tiong sebagai berkata bagi tujuan sama, syarikat-syarikat besar dalam industri gas dan minyak seperti Petronas harus memulakan langkah drastik dan efisien dalam pematuhan SOP sekaligus membolehkannya diikuti semua syarikat industri lain di Bintulu.

  • oleh
  • Advertisement