Anda di sini

Penangguhan sesi persekolahan bersemuka, keputusan tepat

Advertisement
 

KUCHING: Keputusan penangguhan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka melibatkan zon Merah di negeri ini adalah tepat. 

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Adam Prakash Abdullah (gambar) berkata kesatuan menyambut baik pengumuman dibuat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu. 

“Ini merupakan keputusan yang tepat dan telah mengambil kira keselamatan semua pihak yang terlibat dalam persekolahan. 

“Ini pastinya memberi kelegaan kepada ibu bapa, murid dan guru khususnya mereka yang berada di kawasan tidak selamat,” katanya ketika dihubungi. 

Tambah Adam, kesatuan merakamkan setinggi penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan JPBNS kerana mempertimbangkan rayuan guru dan ibu untuk menangguhkan pembukaan sekolah di kawasan kurang selamat. 

Pada masa yang sama kesatuan berharap semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan murid menggunakan peluang ini untuk terus menyertai Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) agar tidak ketinggalan. 
 
STU turut menghargai usaha JPBNS mewujudkan jawatankuasa dibawah Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR)  bersama JPNS bagi memastikan sesi persekolahan di seluruh negeri Sarawak dapat berjalan dengan lancar dan selamat. 

Kesatuan katanya akan sentiasa menyokong usaha murni JPNS dan MESTR ini dalam membantu dan menjaga kebajikan para guru di Sarawak.

Keputusan menangguhkan pembukaan sesi persekolahan di buat JPBNS semalam atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) melibatkan daerah Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri. 

Persekolah secara bersemua ditangguh dua minggu berkuatkuasa 1 hingga 14 Mac 2021.

  • oleh
  • Advertisement