Anda di sini

KGBS sokong penangguhan sesi persekolahan

Advertisement
 

KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyokong penangguhan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka melibatkan sekolah-sekolah dalam kawasan Zon Merah jangkitan COVID-19 di negeri ini. 

Presiden KGBS Ahmad Malie (gambar) berkata keputusan untuk menangguhkan pembukaan sesi persekolahan ini dibuat atas keselamatan para pelajar, guru dan kakitangan sekolah. 

“Seperti yang pernah ditegaskan sebelum ini, KGBS sentiasa akur dengan apa juga keputusan terbaik berhubung isu pendidikan ketika negara dan negeri masih berdepan penularan COVID-19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan penangguhan ini, KGBS berharap ibu bapa dan penjaga pelajar sekolah di zon berkenaan turut menerima keputusan ini dengan tenang dan sabar. 

“Kesatuan yakin para guru tetap bersedia dengan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). 

“Kesatuan juga percaya guru-guru telah dapat menemui modus operandi PdPR yang sesuai dengan lokasi masing-masing,” katanya. 

Ahmad turut berharap ibu bapa dan penjaga  memastikan anak-anak mereka tidak terpinggir dari segi pembelajaran. 

Justeru beliau berharap sesi PdPR dapat terus dilaksanakan dengan lancar demi kesinambungan pembelajaran murid-murid sepanjang tempoh penangguhan ini. 

Penangguhan sesi persekolahan bersemuka diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melibatkan sembilan daerah Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri. 

Penangguhan ini berkuatkuasa selama dua minggu mulai 1 hingga 14 Mac, manakala bagi sekolah di lain-lain daerah, sesi persekolahan secara bersemuka akan dibuka seperti dijadual iaitu pada 1 Mac bagi murid-murid pra sekolah, Tahun Satu dan Dua. 

  • oleh
  • Advertisement