Anda di sini

Kerajaan GPS terus komited perkasa pendidikan: Paulus

Advertisement
 Paulus (tiga kiri) menyerahkan kemudahan LCD kepada Paulus Ngelambai (empat kiri) semalam.
KEMUDAHAN SEKOLAH: Paulus (tiga kiri) menyerahkan kemudahan LCD kepada Paulus Ngelambai (empat kiri) semalam.

LIMBANG: Sekolah luar bandar, Sekolah Kebangsaan (SK) Penganan dekat sini terpilih untuk projek baik pulih sekolah daif di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) melalui pembinaan bangunan asrama pelajar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata kerajaan negeri  telah memperuntukkan sejumlah RM1.5 bilion termasuk bagi pelaksanaan projek baik pulih sekolah daif di bahagian utara negeri ini termasuk di kawasan Batu Danau.

Jelas beliau, usaha ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memperkasa kemudahan pembelajaran dan memastikan pendidikan di luar bandar dapat dipertingkatkan.

“Sebagai wakil rakyat kita memberi komitmen, menyokong serta membantu warga pendidik dan pelajar demi kelangsungan pembelajaran di sekolah,” katanya pada lawatan ke sekolah itu semalam.

Mengiringi beliau ialah Guru Besar SK Penganan Paulus Ngelambai, Timbalan Pengerusi SADIA Cawangan Limbang mewakili Pusat Khidmat Ahli Parlimen Limbang Jangan Bakar, Pegawai Khas Paulus Jimmy Ngindang Bau dan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Penganan Ronnie Lenggang.

Paulus berkata lagi kerajaan tidak pernah meminggirkan sekolah-sekolah di luar bandar termasuk SK Penganan.

“Kita ada menyalurkan geran kepada PIBG SK Penganan berjumlah RM5,000 pada 2020.

“Geran ini dimanfaatkan oleh pihak PIBG sekolah untuk membeli tiga unit projector paparan hablur cecair (LCD) dan kemudahan ini adalah perlu bagi memastikan keberkesanan sistem pembelajaran dan pengajaran di sekolah,” katanya.

Jelasnya, RM5,000 lagi akan diluluskan untuk PIBG sekolah bagi tahun ini.

“Kita berharap melalui bantuan geran yang disalurkan ini dapat membantu pihak PIBG melaksanakan aktiviti-aktiviti sekolah,” katanya.

Mengulas lanjut, Paulus berkata, semasa Pakatan Harapan mentadbir negara selama 22 bulan,  wakil-wakil rakyat tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan sekolah.

Katanya, keadaan ini menyebabkan wakil rakyat di peringkat ADUN tidak menyalurkan peruntukan kepada PIBG sekolah.

Dalam pada itu katanya, penduduk perlu sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta amalan norma baharu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) demi membendung penularan virus COVID-19, selain memastikan keselamatan masing-masing.  

Beliau turut menyeru masyarakat setempat tidak terpengaruh dengan maklumat tidak benar  berhubung isu vaksinasi yang akan dijalankan oleh Kementerian kesihatan Malaysia.

Masyarakat katanya, perlu bijak untuk menapis dan menilai setiap maklumat yang dikongsikan di media sosial.

  • oleh
  • Advertisement