Anda di sini

Jangan takut terima suntikan vaksin: Jururawat

Advertisement

MIRI: Dua jururawat dari Miri yang bekerja di luar negara dan sudah menerima vaksin COVID-19 menasihatkan masyarakat setempat khususnya rakyat Sarawak agar tidak takut, sebaliknya tampil menerima suntikan vaksin berkenaan.

MUNALIZA
MUNALIZA

Munaliza Majey, 35, yang kini bertugas di Arab Saudi menerusi laman sosial Facebooknya berkongsi pengalaman beliau menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 pada 21 Februari lalu.

“Saya memang terfikir untuk berkongsi pengalaman mengambil suntikan pertama berkenaan kerana ramai yang bertanya kepada saya mengenai kesan sampingan tersebut.

“Tetapi saya mengambil keputusan untuk berkongsi semalam (26 Februari) di Facebook selepas saya memantau sendiri untuk tempoh 72 jam selepas suntikan berkenaan,” jelasnya ketika dihubungi melalui Messenger.

Menurutnya, beliau memantau sendiri selepas 72 jam disebabkan dalam tempoh 24 jam hingga 48 jam beliau tidak mengalami sebarang  alahan atau gejala lain.

“Penilaian saya buat selepas 72 jam adalah untuk menilai jika saya mempunyai ‘late reaction’ tetapi syukur tiada alahan yang saya alami malah saya boleh bekerja seperti biasa,” ujarnya yang telah berada di negara itu sejak 2018.

Munaliza yang pernah bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini telah mengambil vaksin COVID-19 AstraZaneca Oxford yang diberi percuma di bawah program untuk petugas barisan hadapan hospital oleh kerajaan Arab Saudi.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk mendapat vaksin berkenaan secara percuma dan saya nasihatkan rakyat Sarawak untuk bersama mendapat vaksin yang kerajaan sediakan.

“Tidak perlu takut atau ragu-ragu. Jalankan tanggungjawab anda. Bila semua kita sudah diberikan vaksin nanti, kita boleh menjalani kehidupan normal seperti biasa sebelum adanya pandemik,” ujarnya yang turut rindu untuk pulang ke Miri.

Jelas Munaliza, beliau akan mengambil dos kedua suntikan terbabit selepas empat minggu suntikan pertama iaitu pada Mac nanti.

Menurutnya, gejala demam, sakit kepala atau alahan kecil adalah gejala bagi kebiasaan vaksin diambil.

“Tidak perlu bimbang sekiranya ada gejala tersebut, vaksin masih selamat untuk diambil. Sekiranya ada mengalami gejala seperti tersebut, ambil panadol, rehat secukupnya dan minum air masak sekurang-kurangnya dua liter. Gejala terbabit akan hilang dalam tempoh dua hingga tiga hari,” tambahnya.

TIFFANY
TIFFANY

Turut berkongsi pengalaman sama, Tiffany C Jeffrey, 30-an, yang bertugas di Singapura sejak lima tahun lalu yang amat mengalu-alukan rakyat Sarawak untuk bersama memainkan peranan bagi mengambil suntikan vaksin berkenaan.

“Inilah masanya kita memainkan peranan kita untuk melindungi diri dan masyarakat setempat. Kerajaan telah memainkan peranan untuk membantu mendapatkan vaksin, giliran kita pula untuk melaksanakan peranan kita,” katanya yang turut dihubungi menerusi Messeger.

Menurut Tiffany, beliau yang disuntik vaksin Pfizer-BioNTech pada 18 Januari bagi dos pertama dan 9 Februari untuk dos kedua bersyukur kerana diberikan peluang untuk mendapatkan suntikan berkenaan secara percuma walaupun bukan warganegara Singapura.

“Saya sanggup menerima suntikan vaksin tersebut bukan sahaja kerana ia percuma, tetapi juga ingin memberi contoh baik kepada rakyat di Sarawak bahawa vaksin selamat diambil demi kesihatan bagi melindungi diri serta keluarga,” katanya.

Jelas Tiffany, proses suntikan vaksin dilaksanakan dengan mudah dan tidak menyakitkan.

“Untuk dos pertama saya hanya mengalami lenguh sedikit di tempat yang disuntik bagi tempoh 24 jam dan tidak mengalami sebarang demam atau alahan lain.

“Manakala untuk dos kedua hanya mengalami demam ringan dalam tempoh 24 jam tetapi selepas mengambil panadol dan rehat secukupnya, saya sihat seperti biasa.

“Ada juga yang tidak mengalami demam atau gejala lain. Ia terpulang kepada individu tersebut, tetapi vaksin berkenaan tetap selamat untuk diambil,” katanya.

Ujar Tiffany, beliau berharap rakyat Sarawak tidak ragu-ragu terhadap pengambilan vaksin terbabit dan bersama memberikan kerjasama untuk kerajaan dalam mencegah penularan pandemik berkenaan.

“Sudah pasti kita semua mahukan kehidupan yang normal seperti sebelum ini, jadi mainkan peranan anda untuk melindungi diri dan masyarakat setempat,” tambahnya.

Advertisement