Anda di sini

Ingkar SOP, jumlah kompaun RM1,000 tidak wajar dinaikkan

Advertisement
JIMBAU
JIMBAU

SIBU: Kompaun RM1,000 kepada pesalah yang ingkar dan melanggar prose-dur operasi standard (SOP) COVID-19 dianggap sudah memadai.

Timbalan Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Cawangan Sibu (DUBS) Jimbau Galau berkata, jumlah kompaun itu tidak wajar dinaikkan.

Katanya, rata-rata rakyat ketika ini sedang tertekan dari segi mental, fizikal dan ekonomi ekoran penularan pandemik itu.

“Saya berpendapat tidak wajar nilai kompaun itu dinaikkan kerana bagi saya apa yang lebih penting ialah pelaksanaan penguatkuasaan harus dilakukan secara menyeluruh.

“Selain itu segala tindakan yang dibuat perlu mengambil kira punca yang menyebabkan berlakunya ketidakpatuhan terhadap SOP,” katanya semasa dihubungi semalam.

Menurut Jimbau, kerajaan juga perlu meneliti secara mendalam punca ketidakpatuhan terhadap SOP yang telah ditetapkan, selain berusaha meningkatkan kefahaman rakyat terhadap SOP.

Jimbau berkata, tindakan menaikkan kompaun bukan penyelesaian, sebaliknya hanya meningkatkan ke-tidakpatuhan orang ramai yang sekian lama ‘terkurung’ ekoran daripada SOP yang ditetapkan.

“Persoalannya apakah langkah menaikkan nilai kompaun tersebut benar-benar berkesan memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19 atau sebaliknya?” soal beliau.

Katanya, walaupun tindakan menaikkan nilai kompaun bertujuan meningkatkan kepatuhan orang ramai terhadap SOP, namun ia juga menimbulkan lebih banyak kesan buruk berbanding baik.

“Ketika ini pandemik COVID-19 sudah berada dalam komuniti dengan sebilangannya tidak diketahui punca jangkitan.

“Jadi yang penting sekarang, selain penguatkuasaan, pihak berwajib seharusnya lebih memberi penekanan pendidikan kepada masya-rakat serta pemahaman jelas berkaitan penetapan SOP,” katanya.

Jabatan Peguam Negara pada Khamis muat naik Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan.

Ia memaklumkan individu yang melanggar SOP bagi pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19 boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bermula 11 Mac.

Antara kesalahan yang boleh dikenakan kompaun ialah tidak memakai pelitup muka, gagal mematuhi penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, rentas daerah/negeri tanpa kebenaran dan aktiviti pusat hiburan.

Advertisement