Anda di sini

Empat guru kongsi pengalaman terima suntikan vaksin

Advertisement
 
Badaruddin bersyukur dan berkongi kegembiraan bersama Che Zaini, Chan dan P Suguna selepas menerima suntikan vaksin.
Badaruddin bersyukur dan berkongsi kegembiraan bersama Che Zaini, Chan dan P Suguna selepas menerima suntikan vaksin.

PUTRAJAYA: "Saya harap suntikan ini dapat memberi keyakinan kepada semua dan juga tanda sokongan kepada usaha membasmi penularan wabak COVID-19 dalam negara,” kata Cikgu Badaruddin Yahya, selepas menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech bagi Fasa 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), hari ini (27 Feb).

Badaruddin, guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1), adalah seorang daripada empat guru yang menerima suntikan vaksin itu bersama Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin di Pejabat Kesihatan Putrajaya Presint 11, di sini.

Guru berusia 42 tahun itu juga merupakan antara 55,539 guru di seluruh negara yang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 yang akan menerima suntikan vaksin dalam Fasa 1 PICK.

"Usaha ke arah kebaikan, kita sebagai guru, perlu sokong dan memberi contoh kepada masyarakat. Diharap vaksin ini memberi keyakinan yang lebih tinggi kepada semua untuk berdepan dengan COVID-19," katanya kepada pemberita selepas menerima suntikan itu.

Bagi guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway, Chan Han Hua, beliau menzahirkan rasa syukur kerana terpilih menerima suntikan vaksin itu walaupun mengakui merasa sedikit gementar sebelum menerima suntikan.

"Perasaan saya bercampur baur, tapi saya berfikiran positif untuk mengambil suntikan vaksin sebelum kembali ke sekolah bersemuka dengan para guru dan murid demi keselamatan dan kebaikan bersama," katanya yang sudah berkhidmat di sekolah itu selama tiga tahun. 

Guru matematik yang berumur 52 tahun itu berkata beliau lebih yakin mendapat suntikan selepas banyak membaca tentang wabak COVID-19 dan vaksin serta mendapat sokongan keluarga. 

"Diharap murid-murid lebih yakin dan berasa selamat untuk kembali ke sekolah selepas para guru mendapat suntikan vaksin. Ia adalah langkah untuk lindung diri, keluarga dan masyarakat," katanya. 

Bagi guru Bahasa Inggeris dan Jepun, P. Suguna Devi pula, beliau rasa bertuah kerana diberi peluang untuk melindungi diri, keluarga, para murid dan guru lain dengan menerima suntikan vaksin berkenaan hari ini walaupun sedikit gementar. 

"Saya datang dengan keyakinan diri dan rela menerima suntikan vaksin demi melindungi murid dan guru di sekolah," katanya yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1).

Guru Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14(1), Che Zaini Mat Daud pula berkata keputusan mengambil vaksin adalah demi kesihatan para murid yang akan kembali ke sekolah secara bersemuka pada Isnin depan. 

"Mula-mula saya rasa gemuruh tapi kembali tenang kerana saya berusaha beranikan diri untuk kebaikan dan kesihatan murid-murid. Harap semua guru sedia menerima vaksin ini kerana tidak sampai 10 saat saya telah selesai divaksin," katanya. - BERNAMA 

Advertisement