Anda di sini

Dalam beg ada syabu

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur dicekup selepas disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah di Kampung Bobak, Bau pada Jumaat (26 Feb). 

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, suspek seorang lelaki berusia 28 tahun itu ditangkap sekitar pukul 11:30 pagi oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di tepi sebuah rumah.

"Suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan dan diperiksa. Semasa pemeriksaan lanjut di bahagian tubuh badan, suspek telah menyerahkan kepada polis satu beg kecil warna hitam. 

"Hasil pemeriksaan beg berkenaan telah menemukan satu paket plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 1 gram dan satu keranjang timah berisi tiga biji pil jenis Erimin 5 dengan berat kasar 0.85 gram," katanya dalam kenyataan.

Tegasnya, suspek kemudiannya ditangkap dan dadah yang dijumpai dirampas untuk barang kes. 

Tambah Poge, suspek dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau untuk saringan awal air kencing. 

Jelasnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Menurut beliau lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Dalam pada itu, katanya, suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan akan direman untuk siasatan lanjut. 

  • oleh
  • Advertisement