Anda di sini

Anggota ATM bertugas di kawasan operasi, misi luar negara kumpulan pertama divaksin: Ismail Sabri

Advertisement
  Ismail Sabri Yaakob semalam menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
VAKSIN: Ismail Sabri Yaakob semalam menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di kawasan operasi dan penugasan di luar negara adalah kumpulan pertama penerima vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dalam kalangan warga ATM, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.     

Beliau berkata, mereka adalah anggota ATM yang sedang dan akan bertugas di kawasan operasi seperti Ops Benteng, Ops Penawar, misi pengaman Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dan Pasukan Pemerhati Antarabangsa di Mindanao di bawah tentera darat, laut serta udara.

“Sebagai contoh vaksin ini akan diberi kepada anggota yang bertugas di Ops Benteng kerana mereka ini menjaga sempadan dan perairan negara serta berhadapan dengan pendatang asing tanpa izin.

“Selain itu, vaksin ini juga akan diberikan kepada Kumpulan Pemerintahan Strategik dan Operasi di Markas ATM, Kementerian Pertahanan, Markas Angkatan Bersama, Markas-markas Formasi tentera darat, laut dan udara terutamanya bagi mereka yang bertugas di bilik operasi dan bilik komunikasi markas-markas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menerima vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini semalam.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, pemberian vaksin Fasa 1 itu juga disasarkan kepada pegawai dan anggota ATM yang terlibat mengoperasikan aset pertahanan strategik negara, antaranya pesawat pejuang, pesawat pengangkut, kapal-kapal tentera laut, juruterbang helikopter tentera darat, laut dan udara serta anggota pasukan khas.

“Ia juga melibatkan anggota yang mengendalikan aset pertahanan udara dan aset-aset khusus lain yang tidak boleh dikendalikan oleh mana-mana pegawai dan anggota lain yang tidak dilatih khas,” katanya.

Beliau berkata, ATM telah menjadualkan pemberian suntikan vaksin itu yang bermula kelmarin terutamanya bagi petugas vaksinasi perkhidmatan kesihatan ATM.

“Sejak kelmarin seramai 230 penerima telah divaksinasikan dengan dos pertama daripada vaksin jenis Cominarty keluaran Pfizer BioNtech,” katanya.

Ismail Sabri berkata, 14 pegawai dan anggota ATM dan PDRM yang akan terlibat dengan Misi Pemantau Antarabangsa Mindanao akan turut divaksin dan akan berlepas ke Mindanao selepas menerima dos kedua mereka pada Mac depan.

“Di samping itu, seramai 40 anggota Kumpulan Wanita Kedua ATM bagi Misi UNIFIL akan menerima vaksin pada esok (hari ini) sebagai sebahagian dari program perlindungan kesihatan sebelum bertugas di Lubnan,” katanya.

Mengulas mengenai warga ATM yang sedang bertugas di misi pengaman di Lubnan sama ada mereka menerima vaksin ini atau sebaliknya, Ismail Sabri berkata ATM telah menerima tawaran suntikan vaksinasi daripada pihak UNIFIL.

Mengenai pengalaman beliau menerima suntikan berkenaan semalam, Ismail Sabri berkata ketika suntikan beliau tidak rasa sakit.

“Saya sendiri telah mengambil vaksin dan orang ramai tidak perlu bimbang akan keselamatan vaksin ini kerana ia telah melalui ujian keselamatan dan kajian terperinci oleh syarikat yang mengeluarkannya.

“Apabila vaksin ini telah tiba di negara kita, kita sekali lagi menguji keselamatan vaksin dan ini menunjukkan bahawa vaksin ini diuji dengan tapisan keselamatan yang tinggi,” katanya.

Ismail Sabri menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita-berita palsu mengenai vaksin berkenaan.

“Saya percaya bahawa vaksin ini akan lebih memberi impak kerana Kementerian Kesihatan Malaysia telah mempunyai strategi untuk membendung wabak COVID-19 dalam memutuskan rantaiannya,” katanya. — Bernama

Advertisement