Anda di sini

Tiga wartawan terawal disuntik vaksin COVID-19

Advertisement
(Dari kiri) Saibi, Rudi dan Zulazhar beraksi menunjukkan tanda bagus selepas menerima suntikan vaksin COVIDD-19, hari ini.
(Dari kiri) Saibi, Rudi dan Zulazhar beraksi menunjukkan tanda bagus selepas menerima suntikan vaksin COVIDD-19, hari ini.

KOTA SAMARAHAN: Tiga wartawan antara 132 individu terawal menerusi fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 menerima suntikan vaksin COVID-19 di Pejabat Kesihatan Kota Samarahan hari ini.

Wartawan dari Utusan Borneo Saibi Gi, Zulazhar Sebli (The Star) dan Rudy Affendy Khalik (Awani Sarawak) menerima vaksin pada kira-kira pukul 10:30 pagi.

Saibi berkata beliau berasa sangat bertuah kerana dipilih dalam kumpulan terawal disuntik vaksin Pfizer Biontech.

"Sebagai wartawan yang sentiasa terdedah dengan orang ramai ketika melaksanakan tugas harian, memang kami perlu diberi vaksin awal," katanya ditemui.

Berkongsi perasaan ketika menunggu disuntik, beliau berkata tiada apa yang hendak dirisaukan menerima vaksin berkenaan.

"Cuma berdebar-debar sedikit ketika menunggu giliran hendak disuntik.

"Kesan selepas disuntik, setakat ini tiada apa-apa yang tidak normal. Tidak ada rasa sakit atau pening kepala," ujarnya.

Saibi menerima suntikan vaksin aksin COVID-19 di Pejabat Kesihatan Kota Samarahan hari ini.
Saibi menerima suntikan vaksin aksin COVID-19 di Pejabat Kesihatan Kota Samarahan hari ini.

Sementara Zulazhar berkata beliau sanggup menerima suntikan vaksin terawal kerana ingin memberi contoh baik kepada masyarakat dan wartawan lain.

Malah, faktor kerja yang sering terdedah dengan orang ramai mendorong beliau sanggup tergolong dalam kumpulan terawal disuntik vaksin.

"Saya menyahut seruan kerajaan agar menerima suntikan vaksin demi kesihatan," katanya.

Beliau turut kepada kerajaan kerana mengiktiraf wartawan sebagai petugas barisan hadapan.

(Dari kiri) Saibi, Rubiah dan Zulazhar antara barisan hadapan terawal menerima vaksin COVID-19 di negeri ini.
(Dari kiri) Saibi, Rubiah dan Zulazhar antara barisan hadapan terawal menerima vaksin COVID-19 di negeri ini.

"Kerajaan nampaknya faham dan menghargai peranan dan tanggungjawab media terutama ketika COVID-19," jelasnya.

Bagi Rudi, proses suntikan vaksin di pusat tersebut dijalankan dengan cukup mesra, mudah dan tidak menyakitkan. 

"Ini adalah perjuangan kita untuk memastikan semua kita, termasuk generasi masa depan bebas daripada wabak maut COVID-19," ujarnya.

Menerusi Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA), seramai 13 wartawan dipilih sebagai penerima suntikan fasa pertama di Sarawak.

Turut menerima suntikan vaksin di Pejabat Kesihatan Kota Samarahan hari ini ialah Ahli Parlimen Samarahan Rubiah Wang dan Residen Samarahan Ibrahim Lumpu.

Turut menerima suntikan vaksin ialah petugas Kementerian Kesihatan.

Sebelum itu, vaksin Pfizer Biontech tiba di Pejabat Kesihatan Kota Samarahan pada pukul 9:45 pagi.

Ia dibawa dari Cawangan  Logistik Farmasi Negeri Sarawak, Bintawa, Kuching.

Advertisement