Anda di sini

Sabah tubuh Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19

Advertisement
 Hajiji (tengah) mengadakan mesyuarat libat urus secara sidang video bersama Khairy dan pegawai kerajaan negeri yang lain.
MESYUARAT: Hajiji (tengah) mengadakan mesyuarat libat urus secara sidang video bersama Khairy dan pegawai kerajaan negeri yang lain.

KOTA KINABALU: Sabah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 bagi memastikan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan lancar di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, penubuhan pasukan berkenaan di bawah kendalian Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong. 

Menurutnya, langkah berkenaan sebagai persediaan dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Sabah.

Katanya, bagi peringkat daerah dan akar umbi, program berkenaan akan dipantau oleh pegawai daerah dan pemimpin masyarakat di setiap kawasan.

Beliau berkata, Sabah sudah melaksanakan persediaan yang sewajarnya untuk melaksanakan proses vaksinasi.

Hajiji berkata demikian pada mesyuarat libat urus secara sidang video bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin di sini hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya turut bersetuju dengan Khairy mengenai keperluan untuk mewujudkan unit bergerak bagi memudahkan urusan proses vaksinasi serta pendaftaran penerima vaksin di kawasan pedalaman.

Selain itu katanya, hebahan maklumat dalam pelbagai bahasa etnik negeri juga dilaksanakan menerusi Jabatan Penerangan untuk makluman berhubung program imunisasi itu kepada masyarakat peringkat akar umbi.

"Vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Sabah hari ini dan ia akan diikuti dengan program vaksinasi yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa dimana, fasa pertama sebanyak 104,130 dos untuk petugas barisan hadapan.

"Bagi fasa kedua, ia akan membabitkan golongan berisiko tinggi iaitu kira-kira 268,000 orang dan fasa ketiga untuk mereka yang berumur 18 tahun ke atas yang dianggarkan seramai 2.7 juta orang,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 195 pusat simpanan vaksin disediakan di Sabah iaitu 93 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 102 untuk kawasan lain.

Hajiji turut menasihatkan rakyat Sabah untuk mendaftar program imunisasi bagi mendapatkan vaksin dalam usaha memutuskan penularan jangkitan COVID-19.

Katanya, pendaftaran boleh dilakukan melalui aplikasi MySejahtera atau laman web www.vaksincovid.gov.my dan bagi yang tidak mempunyai telefon pintar terutama warga emas boleh didaftarkan sebagai tanggungan di bawah anak mereka.

"Setakat ini, hanya 30 peratus warga emas berumur 60 tahun ke atas sudah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera di bawah program imunisasi.

"Diharap setiap rakyat Sabah akan mendaftar bagi memastikan kita dapat memutuskan rantaian dan penularan pandemik COVID-19," jelasnya.

Mengenai pemberian vaksin kepada warga asing, Hajiji berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan majikan bagi pekerja asing.

Menurutnya, sebelum ini, kerjasama daripada majikan turut dilakukan bagi memastikan pekerja asing menjalani ujian saringan COVID-19.

"Kita sudah memaklumkan pasukan keselamatan dan ini bukan masanya untuk menyemak dokumen kerana kita perlu memastikan semua orang di Sabah menerima vaksin," katanya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Sabah Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof.

  • oleh
  • Advertisement