Anda di sini

Polis langkawi kesan 20 cubaan rentas daerah tanpa kebenaran

Advertisement
 Anggota polis memeriksa surat kebenaran rentas daerah milik seorang penumpang sebelum dibenarkan menaiki feri di Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi. — Gambar Bernama
PERIKSA: Anggota polis memeriksa surat kebenaran rentas daerah milik seorang penumpang sebelum dibenarkan menaiki feri di Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi. — Gambar Bernama

LANGKAWI: Polis mengesan kira-kira 20 cubaan untuk merentas daerah tanpa surat kebenaran dari Terminal Feri Penumpang, Kuah ke Kuala Kedah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 19 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata, kesalahan tersebut dikesan hampir setiap hari oleh anggota polis yang membuat pemeriksaan di terminal feri berkenaan.

“Mereka mengambil kesempatan membeli tiket secara dalam talian yang tidak perlu menunjukkan telah memperolehi surat kebenaran dari balai polis.

“Polis akan terus membuat pemeriksaan bagi memastikan setiap pergerakan rentas daerah memiliki surat kebenaran selaras prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan,” katanya selepas pemantauan pematuhan SOP PKPB di Terminal Feri Penumpang Kuah semalam.

Sementara itu, mengenai pemantauan semalam Shariman berkata, enam penumpang dikesan tidak memiliki surat kebenaran merentas daerah dan telah diarahkan untuk tidak menaiki feri ke Kuala Kedah.

“Ketua keluarga kumpulan tersebut mendakwa datang ke Langkawi untuk mesyuarat, namun hari ini (semalam) ketika ingin pulang ke Kuala Kedah mereka tidak memiliki surat kebenaran yang dikeluarkan balai polis.

“Mereka telah diarahkan untuk mendapatkan surat kebenaran sebelum dibenarkan menaiki feri,” katanya.

Shariman berkata, selain memastikan setiap penumpang memiliki surat kebenaran rentas daerah dan negeri, pihaknya turut melakukan pemantauan di dalam feri bagi memastikan semua penumpang memakai pelitup muka.

Sebagai rekod, perjalanan feri ulang-alik bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi dihadkan kepada satu perjalanan sehari dalam tempoh PKPB.

— Bernama

Advertisement